KUALA TERENGGANU – Berpantang maut sebelum ajal. Itu yang berlaku ke atas Ketua Turus Pasukan Tindakan Cemas Malaysia (PTCM) Terengganu, Datuk Ramli Embong yang nyaris maut dihempap pokok rhu yang tumbang di Taman Awam Batu Burok, di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, Ramli sedang menyiapkan kerja di pejabat PTCM yang terletak di Batu Burok sebelum pokok rhu sebesar pemeluk lelaki dewasa yang terletak berhampiran tiba-tiba tumbang menghempap pejabat PTCM.

Bagaimanapun, dia tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun jarak kedudukannya dengan pokok yang tumbang hanya beberapa meter sahaja.

Ramli ketika ditemui berkata, sebelum kejadian dia mendengar bunyi dentuman kuat.

“Lepas itu saya dengar orang panggil saya..datuk…datuk tapi saya tak boleh jawab. Keadaan saya kaku dan tergamam…masa itu saya fikir saya sudah mati,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian, kelmarin.

Beliau berkata, pegawainya yang datang membantu terus menariknya keluar dari pejabat PTCM dan ketika itu barulah dia sedar bahawa pejabatnya ranap dihempap pokok rhu.

Lebih menyedihkan kata Ramli, pejabat PTCM yang turut dilengkapi tapak dan stable kuda bagi unit berkuda PTCM baru sahaja dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman pada 31 Ogos lalu.

Selain pejabat PTCM negeri yang menempatkan bilik mesyuarat dan bilik operasi, kejadian itu turut memusnahkan beberapa peralatan lain seperti alat telekomunikasi, kamera litar tertutup (CCTV) dan enam buah basikal yang keseluruhan kerugian dianggarkan bernilai RM100,000.

“Mujur ketika kejadian kuda tidak ada dalam kandang dan lima kenderaan ATV juga terselamat. Jika tidak kerugian mungkin berganda dan saya juga bersyukur kerana terselamat…Alhamdulillah,” katanya.

Namun begitu, Ramli turut meluahkan rasa kesal terhadap pihak berkenaan yang tidak mengambil serius aduan yang dibuat olehnya agar pokok rhu di sekitar pejabat PTCM ditebang bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini.

Sementara itu, Naib Marshal PTCM Terengganu, Mohd Zahari Ismail juga bersyukur kerana kejadian itu tidak melibatkan kemalangan nyawa walaupun ketika itu dia baru beberapa minit keluar dari pejabat PTCM selepas menyiapkan kerja dengan Ramli.

“Tempat pokok terbalik itulah tempat saya duduk sebelum keluar. Tiba-tiba saya dengar bunyi dentuman amat kuat. Bila berpaling tengok pejabat dah runtuh dihempap pokok dan saya panggil datuk berkali kali tapi tiada sahutan. Ketika itu saya fikir datuk dah mati.

“Saya terajang pintu tengok datuk hanya berdiri tanpa sebarang reaksi, saya terus tarik dia keluar bimbang ada runtuhan lagi.

“Tiada perkataan yang mampu diluahkan selain rasa syukur kerana kami selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • HULU SELANGOR - Hujan lebat beserta angin kencang yang berlarutan hampir 40 minit di sekitar kawasan Serendah, petang semalam menyebabkan kejadian pokok tumbang dan menghalang sepenuhnya laluan kenderaan.
  • TAIPING - Kedudukan pokok samanea saman atau lebih sebagai pokok hujan-hujan yang tumbang merentangi Raintree Walk minggu lalu akan dikekalkan pada kedudukan berkenaan.
  • KUALA BESUT - Dua pengguna jalan raya yang melalui jalan Seberang Jertih ke Kuala Besut di Kampung Dengir di sini berdepan detik bahaya apabila sebatang pokok mangga tumbang secara tiba-tiba pagi tadi.
  • KUALA TERENGGANU - Seorang remaja berusia 14 tahun nyaris maut ditimpa pokok yang tiba-tiba tumbang kira-kira jam 11 pagi tadi ketika membantu ibunya berniaga kedai makan.
  • KOTA KINABALU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah merekodkan 195 kes pokok tumbang akibat cuaca buruk yang melanda pantai barat negeri ini sejak 16 Oktober lepas.