KUALA NERUS - Syarikat Air Terengganu (SATU) akan menambah satu lagi loji air baharu di kawasan Kuala Nerus bagi memenuhi keperluan pengguna di kawasan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Air Terengganu, Atemin Sulong berkata, loji yang bernilai kira-kira RM700 juta itu dijangka siap pada 2019.

"Loji itu mampu menampung kira-kira lebih 200,000 pengguna dan ketika ini ianya masih dalam peringkat untuk reka bentuk dan proses yang lain sedang dijalankan," katanya kepada pemberita, di sini harii ini.

Menurutnya sehingga kini, SATU mempunyai 11 loji air yang masih berfungsi dan kira-kira 70 tangki air di seluruh Terengganu untuk menampung keperluan penduduk dan menjangkakan dengan adanya loji baharu itu nanti, ia mampu mengatasi masalah gangguan bekalan air di sekitar Kuala Nerus.

Katanya, sepanjang musim perayaan ini juga pihaknya berjaya  mengatasi permasalahan air yang sering membelenggu di waktu puncak terutama hari raya dengan menyediakan loji olahan pasang siap yang dikenali sebagai "loji pakej" di Pulau Bahagia, Kuala Terengganu.

Menerusi loji pakej, air dapat disalurkan ke kawasan sekitar dan walaupun  ia  agak  perlahan  berikutan  peningkatan pengguna, namun sekurang-kurangnya orang ramai tidak terputus bekalan untuk keperluan harian.

Atemin berkata, loji pakej itu disediakan pihaknya  dua minggu sebelum hari raya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Kira-kira 10,000 penduduk di 30 kawasan sekitar Kuala Terengganu dijangka mengalami masalah gangguan bekalan air secara berperingkat pada 2, 8 dan 11 September depan.