KUALA TERENGGANU - Seorang pekerja ladang sawit dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 20 sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana merogol anak tirinya yang masih bersekolah sehingga hamil.

Hakim Rofiah Mohamad membuat keputusan itu selepas tertuduh yang berusia 51 tahun mengaku salah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 16 tahun di bahagian rumah tamu di sebuah rumah di Besut, jam 3 pagi pada 25 Oktober 2017.

Tertuduh turut didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa di lokasi sama pada jam 9 pagi, 22 Mac 2015.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan dikenakan sebatan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Perbuatan keji dilakukan tertuduh itu terbongkar selepas seorang guru sekolah menyedari perubahan fizikal mangsa pada 21 Januari lalu.

Berdasarkan pemeriksaan dilakukan, mangsa disahkan hamil lapan bulan sebelum laporan polis dibuat pada 21 Januari lalu yang membawa kepada penahanan tertuduh.

Hasil siasatan mendapati mangsa memaklumkan pertama kali dirogol tertuduh ketika berusia 14 tahun dan tertuduh berkahwin dengan ibu mangsa sejak Oktober 2009.

Mangsa yang juga pelajar Tingkatan Lima di sebuah sekolah di Besut selamat melahirkan bayi perempuan pada Februari lalu.