DUNGUN - Projek pemuliharaan Muara Sungai Paka yang akan digerakkan bermula pertengahan Mei ini akan menyelesaikan pelbagai permasalahan penduduk dan nelayan di kawasan ini.

Projek mega yang bakal menelan belanja sebanyak RM130 juta itu dijangkakan mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan.

Pegawai Pembangunan Dungun, Datuk Din Adam berkata, proses pemberian tapak akan dilaksanakan 17 Mei 2018 dan penyerahan tender juga sudah dilakukan kepada syarikat berkaitan.

"Projek ini dijangkakan akan siap pada 15 Mei  2021 dan kita berharap tidak berlaku kes kerja tergendala atau sebagainya kerana tender juga diserahkan kepada syarikat pakar serta berpengalaman.

"Terlaksananya projek ini dapat mengurangkan kadar pemendapan di muara Sungai Paka, meningkatkan keupayaan aliran air dan memberi perlindungan kepada kawasan muara.

"Secara tidak langsung mengurangkan kadar hakisan pantai di beting pasir dan melindungi bot-bot dari pukulan ombak," katanya selepas merasmikan projek berkenaan di Tapak Pasar Malam Paka, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pakar), Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia serta Calon BN Dun Paka, Tengku Hamzah Tengku Draman.

Beliau berkata, projek pemuliharaan itu diyakini mampu menyelesaikan masalah yang sudah sekian lama membelenggu di kawasan tersebut.

"Komponen utama projek yang terlibat di bawah projek pemuliharaan muara sungai Paka adalah pembinaan struktur pemecah ombak, T-groin, penambakan pasir pantai, river dikes, psrlindungan tebing dan pengerukan alur pelayaran.

" Ia akan memberi manfaat dan faedah apabila mengurangkan risiko banjir kepada penduduk kawasan perkampungan seramai 1000 orang di tebing muara sungai sekurang-kurangnya tiga kilometer dari muara.

"Seterusnya memberi perlindungan kepada lebih 100 buah bot nelayan di Muara Sungai Paka daripada kerosakan akibat muara cetek dan pukulan ombak.

"Perlindungan juga kepada sekurang-kurangnya 1000 penduduk dan 200 buah rumah daripada hakisan dan pukulan ombak," katanya.

Projek berkenaan juga akan mengekalkan kedalaman minima laluan pelayaran 2.1 meter bot draf bagi memastikan pelayaran dengan selesa dan selamat sepanjang masa," katanya.