KUALA TERENGGANU – Pusat Rawatan Ibu dan Bayi (PRIBA) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) atau juga dikenali Kompleks Materniti menjadi tumpuan ibu hamil untuk melahirkan anak kerana menyediakan perkhidmatan setaraf hospital swasta dengan bayaran pendaftaran kemasukan hanya RM1.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, PRIBA diiktiraf sebagai hospital kerajaan tercanggih di negara ini berdasarkan kemudahan rawatan perubatan yang disediakan memberi keselesaan kepada pesakit.

“Setakat ini, PRIBA antara hospital kerajaan yang tercanggih di negara ini dan yang kedua di Kuala Lumpur. Dengan perkhidmatan teknologi moden yang terdapat di PRIBA, ia menjadi tumpuan pesakit terutama ibu hamil untuk melahirkan anak di sini.

“Tidak hairanlah dengan kemudahan yang disediakan, ia mampu menampung sehingga 1000 kelahiran bayi dalam tempoh sebulan, itu adalah perkembangan dan pencapaian yang positif dan memberangsangkan,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke PRIBA dan bangunan utama HSNZ, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Mohammad Omar dan Pengarah HSNZ, Dr Nor Azimi Yunus.

Hilmi berkata, Kompleks PRIBA yang tersergam indah dan lengkap dengan peralatan rawatan perubatan tercanggih itu menelan kos sebanyak RM115,064,269.

Catat 1,300 kelahiran bayi sebulan

Menurutnya, projek pembangunan kompleks ini telah bermula pada 18 Ogos 2008 dan mula beroperasi sepenuhnya pada 21 Disember 2014 dengan perkhidmatan wad kelas pertama bermula pada 16 Oktober 2016.

Katanya, setakat ini, Kompleks Materniti itu mempunyai bilangan kakitangan seramai 333 jururawat di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G) dan 213 jururawat di Jabatan Pediatrik dengan jumlah doktor pakar seramai 15 orang dari O&G dan 14 daripada pediatrik.

“Perkhidmatan yang cemerlang di kompleks ini menyebabkan jumlah kelahiran di dalam sehari begitu tinggi iaitu di antara 40-50 sehari serta boleh mencapai angka 1,300 kelahiran di dalam sebulan.

“Pada tahun 2016, kelahiran bayi di kompleks ini mencapai angka sebanyak 15,831. Ini menunjukkan bahawa HSNZ menjadi pilihan utama khususnya rakyat Terengganu untuk bersalin di kompleks terbaik ini,” katanya.

Kompleks yang menempatkan 312 buah katil serta 24 bilik bersalin itu menyediakan kemudahan kelas pertama dan kedua, bersesuaian dengan konsep privasi kepada ibu bersalin selaras dengan piagam yang ditetapkan di peringkat antarabangsa.

PRIBA yang mempunyai enam aras atas tanah berkeluasan 4.63 hektar memiliki 312 buah katil dan terbahagi kepada enam wad bersalin, 24 bilik bersalin, dua dewan bedah dan 20 katil wad kelas pertama.

Selain dilengkapi dengan bangunan parkir yang berasingan, lima aras kompleks tersebut mampu memuatkan sebanyak 385 lot parkir serta kemudahan lif dan pemantauan CCTV, surau, kafeteria, ruang permainan kanak-kanak dan juga ruang kedai.

Naik taraf berterusan kemudahan HSNZ  

Dalam perkembangan lain, Hilmi berkata, bagi meningkatkan lagi kualiti infrastruktur kemudahan di HSNZ, penambahbaikan secara berterusan di bangunan lama (bangunan utama) perlu dilaksanakan seperti gantian bumbung (flat roof) di semua blok yang telah rosak.

Katanya, HSNZ juga mempunyai kemudahan sembilan buah lif yang telah uzur yang mana telah beroperasi sejak bangunan HSNZ beroperasi pada 1985 dan akan dinaik taraf.

“Sebanyak empat buah lif telah pun diluluskan untuk penggantian. Kerja-kerja penggantian telah dibuat sejak awal tahun ini dan dijangka selesai pada akhir 2017.

“Manakala baki lima buah lif lagi masih menunggu kelulusan untuk penggantian daripada pihak Kementerian Kesihatan. Orang ramai diminta memahami kesulitan ini yang mana ia juga mendatangkan kesulitan kepada kakitangan hospital untuk menjalankan tugas,” katanya.

Beliau berkata, kemudahan infrastruktur di hospital itu bagaimanapun telah banyak menunjukkan perubahan berbanding sebelum ini di mana ia memberikan keselesaan kepada rakyat negeri ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :