KUALA TERENGGANU – Cadangan kenaikan tambang bas sebanyak 10 peratus berbanding harga biasa bermula 22 Jun hingga 2 Julai perlu diperhalusi supaya tidak membebankan pengguna.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata, cadangan kenaikan itu terlalu tinggi apatah lagi dikuatkuasakan sempena musim perayaan.

“Pihak kerajaan perlu memberikan keutamaan dengan melihat kepentingan pengguna awam dalam membuat pertimbangan sama ada hendak meluluskan cadangan ini atau tidak,” katanya.

Beliau berkata sebagai mengulas mengenai cadangan kenaikan kadar tambang bas ekspres yang dicadangkan Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) sepanjang tempoh masa itu bagi memastikan perkhidmatan bas ekspres berjalan lancar di samping menampung kos operasi pengendalian kian meningkat.

Azman berkata, perkembangan itu memperlihatkan pengusaha seolah-olah cuba mengambil kesempatan ketika pengguna memerlukan perkhidmatan bas ekspres untuk pulang ke kampung masing-masing sempena sambutan Aidilfitri.

Jelasnya, bas ekspres adalah pengangkutan awam untuk rakyat bawahan yang sedia terbeban dengan pelbagai kenaikan kos kehidupan seharian.

Beliau berkata, kadar tambang sedia ada dilihat sudah mampu memberi keuntungan kepada pengusaha memandangkan perkhidmatan bas ekspres sudah tentu meningkat sepanjang perayaan.

“Kalau tidak masakan syarikat-syarikat bas boleh berlumba-lumba tampil dengan pelbagai bas model terbaru. Kalau rugi, maka sebab-sebab lain perlu dilihat terutamanya dari aspek pengurusan operasi,” katanya.

Sementara itu, Azman dalam program berasingan turut melawat mangsa kebakaran dalam kes yang melibatkan kira-kira 13 premis di Jalan Petani, Dataran Shahbandar dalam insiden 15 Jun lalu.

Dalam lawatan tersebut beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Pas Pusat turut disertai Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah; Setiausaha Pas Kuala Terengganu, Mohd Soud Said; Setiausaha Lajnah Kebajikan Pas Terengganu, Abdul Hadi Mohamad; Pengarah Majlis Tindakan Dun Bandar, Ahmad Shah Mohamad dan Ketua Kebajikan Pas Kuala Terengganu, Salleh Abdullah.

Dalam program tersebut, pihaknya turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran mewakili Kebajikan Pas Pusat dan Pas Kawasan Kuala Terengganu.

“Mewakili kepimpinan Pas, saya merakamkan ucapan takziah dengan rasa simpati yang mendalam atas musibah yang menimpa dan didoakan semoga ALLAH menggantikan kehilangan ini dengan sesuatu yang lebih baik,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • REMBAU - Seramai 30 penumpang termasuk dua bayi berhadapan detik cemas apabila bas ekspres dua tingkat dinaiki mereka terbabas ke laluan bertentangan di Kilometer 234.6, Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, di sini, sebelum merempuh tempok batu di tepi jalan.
  • KUCHING - Beberapa pengusaha bas ekspres tempatan ke Pontianak, Indonesia di sini menghadapi masalah untuk meneruskan perjalanan ke destinasi itu selepas mendakwa bas mereka ditahan di negara jiran dan diarah menyerahkan wang.
  • ROMPIN - Seorang pemandu bas ekspres maut, manakala 14 penumpang lagi cedera apabila bas dinaiki terbabas dan terbalik di kilometer 158.9 jalan Johor Bahru–Kuantan, di hadapan stesen minyak Petronas Tanjung Gemok.
  • KANGAR - Ratusan perantau di negeri ini mula pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut hari raya dengan menaiki bas ekspres di Terminal Bas Ekspres Kangar di sini, sejak semalam.