• Peragut aktif terima balasan Mohd Faizal dikenakan lima tahun penjara dan lapan sebatan selepas mengaku salah di Mahkmah Sesyen di sini, semalam, merompak dua mangsa di kawasan Felda Kerteh 5, Dungun.
1 /

KUALA TERENGGANU - Peragut yang dipercayai aktif melakukan jenayah ragut di sekitar kawasan Felda Kerteh, Dungun, akhirnya menerima pembalasan apabila dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Hukuman itu dijatuhkan selepas Mohd Faizal Pudilah, 23, dari Felda Kerteh 5, Ketengah Jaya, Dungun, mengaku meragut mangsa pada Julai dan bulan lalu.

Bagi pertuduhan pertama yang dibacakan di hadapan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris, bapa kepada seorang anak itu mengaku meragut beg pinggang milik Nor Azlina Aripin, 31, yang mengandungi wang RM75 dan barang-barang lain.

Mohd Faizal mengaku melakukan kesalahan itu pada jam 3.45 petang 1 Ogos lalu di jalan besar berhampiran ladang kelapa sawit Felda Kerteh 5, semasa mangsa menunggang motosikal.

Wan Fadhilah menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara dan lima sebatan selepas mengambil kira faktor keadaan mangsa yang masih trauma susulan kejadian itu, serta menganggap perbuatan Mohd Faizal terlalu kejam.

Dalam kes kedua di hadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin, Mohd Faizal mengaku merompak sebuah beg tangan mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, wang tunai RM150 dan telefon bimbit milik Wan Norlelawati

Zuriana Wan Sadina Bakri, 26, melibatkan kerugian keseluruhan RM300.

Dia melakukan kesalahan itu kira-kira jam 4.45 petang 22 Julai lalu di kawasan tanah perkuburan Felda Kerteh 04/05, Dungun.

Bagi kesalahan itu, Mohd Faizal dikenakan hukuman lima tahun penjara dan tiga sebatan, namun Zainal Abidin mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak dengan hukuman sebelum ini.

Pendakwaan bagi pertuduhan itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana R Azmi. Mohd Faizal tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, Mohd Faizal berkata dia terpaksa melakukan jenayah itu kerana terdesak, datang daripada keluarga susah serta tidak memiliki pekerjaan tetap.