KUALA NERUS - Penduduk sekitar Mengabang Telipot, di sini, akhirnya dapat menarik nafas lega apabila masalah ancaman babi yang dihadapi sejak beberapa bulan lalu selesai dengan pemasangan sebuah perangkap, semalam.

Inisiatif untuk memasang perangkap bagi membasmi musuh tanaman serta turut mengancam keselamatan penduduk itu diambil Sahabat Cakna dengan kerjasama Pejabat Adun Tepuh, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan lain-lain agensi setelah beberapa kali menerima aduan.

Pengarah Program Sahabat Cakna Kesihatan Persekitaran, Mohd Sidek Abdullah berkata, pemasangan perangkap di kawasan yang dikenal pasti menjadi sarang haiwan liar itu dibuat secara bergotong-royong bersama penduduk.

Katanya lagi, sejak beberapa bulan lalu penduduk kerap mengadu mengenai babi yang kerap muncul di kawasan rumah penduduk serta turut memusnahkan tanaman mereka.

"Kita memilih kawasan Mengabang Telipot ini sebagai perintis bagi program ini memandangkan kawasan berkenaan paling serius diancam binatang liar ini.

"Sahabat Cakna sebagai badan bukan kerajaan (NGO) merasakan amat perlu untuk kita bertindak mengekang ancaman babi ini kerana bukan sahaja masalah kemusnahan tanaman tetapi kita juga bimbang dengan keselamatan jika berlaku wabak berpunca daripada binatang ini.

"Jadi, selaku penganjur program ini kita ingin mengucapkan terima kasih semua pihak terutamanya Pejabat Adun Tepuh dan Perhilitan kerana sama-sama turun padang untuk menyesaikan masalah yang dihadapi penduduk ini,"katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Mohd Sidek lagi, perangkap yang dipasang pada program itu merupakan hasil sumbangan Adun Tepuh, Hishamuddin Abd Karim.

Dalam pada itu, Hishamuddin turut meluangkan masa untuk sama-sama memasang perangkap berkenaan.