KAMPUNG RAJA – Tembelang tiga pelajar perempuan tingkatan tiga ponteng pecah apabila mereka ditangkap khalwat bersama dua lelaki di sebuah rumah di Kampung Gong Tengah dekat Kuala Besut, kelmarin.

Semua pelajar berumur 15 tahun sebuah sekolah menengah di sini ditangkap sepasukan anggota Penguat Kuasa Syariah Pejabat Agama Daerah kira-kira jam 9.15 pagi.

Pegawai Agama Daerah, Azmi Tengah berkata, bertindak atas maklumat orang awam, anggotanya menyerbu rumah tersebut.

Menurutnya, sebaik tiba di pekarangan rumah itu, keadaan sekeliling rumah sunyi dengan pintu dan tingkap tertutup rapat.

“Pemeriksaan di bahagian lain rumah mendapati terdapat satu pintu yang tidak berkunci.

“Anggota masuk ke dalam rumah dan mengetuk pintu salah sebuah bilik yang berkunci dan hanya dibuka lima minit kemudian oleh seorang remaja perempuan,” katanya.

Azmi berkata, terdapat tiga remaja perempuan di dalam bilik itu dan pemeriksaan lanjut menemui dua lelaki bersembunyi di atas siling rumah berkenaan.

“Ketika ditahan semua berpakaian lengkap dan mereka tidak mempunyai hubungan muhrim.

“Manakala, lelaki ketiga berjaya melepaskan diri ketika serbuan dilakukan,” katanya.

Kedua-dua lelaki tersebut berumur 18 tahun lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekolah yang sama dengan pelajar perempuan terbabit.

Hasil siasatan awal, pelajar perempuan itu mengaku membohongi keluarga kononnya ke sekolah tetapi dibawa ke rumah itu.

Kesemua mereka akan didakwa di bawah Seksyen 31(a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 kerana berkhalwat yang sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KAMPUNG RAJA - Hujan lebat berterusan ternyata tidak mampu menghalang pegawai dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Besut berhimpun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut di sini petang semalam.
  • KAMPUNG RAJA - Kawasan Dun Kota Putera akan kekal menjadi kawasan pengeluaran dan penanaman utama pelbagai jenis ubi di daerah ini walaupun kawasan tersebut banyak terlibat dengan projek pembangunan.
  • KAMPUNG RAJA - Tindakan seorang lelaki yang cuba mencuri sebuah kereta Perodua Kelisa tidak kesampaian apabila dicekup orang ramai dalam kejadian di kuarters kakitangan Hospital Besut, di sini, semalam.
  • KAMPUNG RAJA - Seorang lelaki yang memiliki 13 rekod jenayah lampau tidak sempat menyiapkan kerja membungkus dadah dalam sebuah kereta apabila dia diberkas oleh sepasukan polis di tepi jalan berhampiran kebun getah di Kampung Tok Dor Dalam.
  • KAMPUNG RAJA - Meskipun sudah lima kali ditangkap dan dijatuhkan hukuman atas kesalahan dadah, namun seorang lelaki dari Kampung Gong Tiong, Keluang tidak pernah serik apabila ditahan lagi bersama sejumlah dadah dan wang tunai pada Rabu lepas.