KUALA TERENGGANU - Nostalgia menunggu posmen menaiki basikal menghantar kad raya tidak lagi dapat dilihat malah dirasai generasi kini yang dilahirkan dalam era teknologi canggih.  

Namun bagi generasi lama seperti Abdul Rahman Abu Bakar, 64, ia satu kenangan yang mengujakan setiap kali menjelang Aidilfitri kerana selalu menerima kad raya dari rakan-rakan termasuk dari luar negara, Indonesia.

Katanya, apabila posmen hantar kad raya, perasaan menjadi tidak sabar untuk buka dan baca apa yang ditulis kerana waktu dahulu tidak seperti sekarang.

“Dulu hanya kad raya sebagai pengganti diri, dalam kad itulah dia (pengirim) nak beritahu kehidupan sekarang macam mana, apa yang sedang dibuat dan sebagainya, kad itu pula akan disimpan dan jika ada masa boleh baca semula.

“Sekarang dalam Facebook pun dah boleh tengok apa jua yang rakan-rakan kita buat setiap hari walaupun berada di luar negara, jadi keseronokan mendapat kad raya sekarang tak rasa sangat,” katanya menceritakan nostalgia mengenai kad raya.

Abdul Rahman berkata, apabila terima kad raya, terasa diri sangat dihargai kerana ada juga rakan yang ingat kepadanya.

“Kalau dulu minggu pertama puasa sudah sibuk cari kad raya nak dihantar kepada rakan-rakan jauh dan dekat,” katanya.

Ditanya cara penyampaian ucapan raya sekarang, Abdul Rahman berkata, orang muda hari ini lebih suka guna media sosial dan aplikasi canggih yang menjimatkan serta cepat sampai.

Katanya, cara menyampaikan ucapan raya melalui teknologi terkini tidak salah, sebaliknya gunalah ia ke arah kebaikan untuk mengeratkan silaturahim di bulan yang mulia.

Sementara itu,  Mazlan Ismail, 54, pula berkata, jika diimbas kembali zaman dahulu ketika raya, kad raya menjadi keutamaan untuk memohon maaf daripada rakan-rakan.

“Kalau dulu saya siap beli dan ada yang tempah kad raya untuk dihantar kepada rakan-rakan jauh dan juga dekat.

“Kadang-kadang bagi saja kepada posmen untuk mereka hantarkan atau bagi sendiri kepada rakan yang kita nak bagi kad itu,” katanya.

Mazlan berkata, kad raya yang diterima akan digantung di pokok, dalam rumah atau dinding rumah sebagai hiasan pada Aidilfitri.

Bagaimanapun, sekarang ini kad raya sudah diabaikan kerana wujudnya media sosial seperti Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Melalui media sosial, ia lebih cepat, mudah dan tidak perlu tunggu lama kerana satu klik sahaja sudah diterima apa yang ingin disampaikan.

“Saya harap anak muda masa kini yang suka menggunakan teknologi dalam penyampaian atau ucapan raya, mereka hendaklah memastikan ia tidak disalah guna,” katanya.