KUALA TERENGGANU - Kerajaan akan memulakan perkhidmatan MyBAS, iaitu program Transformasi Bas Henti-henti (SBST) di Terengganu bermula tahun depan, dengan sembilan laluan diperkenalkan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri, Ir. Rosli Othman berkata, projek tersebut adalah di bawah inisiatif Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD).

Menurutnya, untuk peringkat permulaan, sebanyak 32 bas disediakan termasuk lapan daripadanya adalah bas elektrik.

“Laluan SBST Kuala Terengganu ini melibatkan sembilan laluan iaitu T101 yang akan melalui Kuala Terengganu-Manir-Gong Badak-Batu Rakit manakala laluan T102 akan melalui Kuala Terengganu-Seberang Takir-Gong Badak-Jeti Merang dan T103 (Kuala Terengganu-Tepoh-Padang Maras-Batu Rakit).

“T201 pula melibatkan Kuala Terengganu-Wakaf Tapai-Kuala Berang, T202 (Kuala Terengganu-Pasir Panjang-Kampung Laut-Bukit Payong), T203 (Kuala Terengganu-Panji Alam-Kedai Buluh-UCSI), T204 (Kuala Terengganu-Losong-Sungai Rengas-Rawai-Bukit Payong), T301 (Kuala Terengganu-Chendering, UiTM-Marang) dan F100 (Kuala Terengganu City Feeder,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan oleh Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (BN-Air Putih) tentang bilakah kerajaan akan mula melaksanakan perkhidmatan Bas Rapid atau setaraf dengannya pada Sidang Dun Ke-13 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Jelasnya, laluan bagi bas elektrik hanya akan melibatkan laluan F100 iaitu Kuala Terengganu City Feeder iaitu akan melalui Kuala Terengganu-Hospital Sultanah Nur Zahirah-Pantai Batu Buruk-Giant dan Mydin.

“Tambang yang bakal dikenakan bagi perkhidmatan bas tersebut dijangka lebih murah daripada perkhidmatan bas lain.

“Perkhidmatan bas sedia ada seperti Cas Ligas, SP Bumi dan satu syarikat daripada Besut juga turut ditawarkan untuk terlibat SBST, namun penglibatan secara terperinci dan berapa buah bas yang akan terlibat belum dikenal pasti,” katanya.