KUALA TERENGGANU - Seorang maut, seorang parah manakala lapan lagi murid Sekolah Kebangsaan Batu 29, Setiu cedera dalam kemalangan di Kilometer 47 Jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu di Sungai Tong, Setiu, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam dua petang itu, Aqil Iskandar Azrol Affendi, 12, dari Bandar Permaisuri maut di tempat kejadian manakala Che Ahmad Zakwan Abd Rashid, 12, cedera parah di bahagian kepala.

Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin ketika dihubungi berkata, berdasarkan maklumat awal pihaknya, 10 murid berkenaan sedang mengikuti kem di sekolah mereka.

"Kebetulannya, penyelia asrama ada sedikit jamuan di rumahnya. Jadi, dia minta anak perempuannya mengambil seorang anaknya yang mengikuti kem itu di sekolah untuk balik makan. Tetapi kita tidak tahu bagaimana sembilan lagi murid boleh ikut sama.

"Sekarang ini, kita masih siasat murid yang terlibat itu diajak bersama atau atas permintaan mereka. Kita akan siasat, lagipun mereka masih lagi belum boleh bercakap mungkin kerana terkejut.

"Saya sudah arahkan Pejabat Pendidikan Daerah Setiu untuk menyiasat perkara ini mengikut prosedur standard yang ditetapkan," katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan, pemandu wanita berusia 21 tahun itu turut cedera di bahagian kaki, akibat daripada kemalangan itu dan kini dirawat di Hospital Setiu.

Lapan lagi pelajar iaitu Muhammad Arif Aziz, 12; Amirul Hakim Kamaruzaman, 12; Fakrul Fauzi, 12; Muhammad Aqif Danial Ramli, 12; Muhammad Iman Hakim Zul,12; Muhammad Irwan Fahmi Muhamad Rosli, 12; Muhammad Faiq Hurairah Mahadi,12, dan Muhammad Nor Hariz Mohd Ismail, 12, mengalami kecederaan ringan dan kini mendapatkan rawatan di hospital sama.

Che Ahmad Zakwan yang mengalami kecederaan parah, akan dihantar untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Setiu, Asisten Superintendan Burhanuddin Mustafa berkata, mengikut laporan awal, pemandu wanita yang berusia 21 tahun itu memandu kenderaan jenis Toyota Innova, dari arah Kuala Terengganu ke Kota Baharu.

Bagaimanapun, apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan itu telah terbabas dan berpusing beberapa kali, sebelum terbalik di sebelah kanan jalan.

"Akibat kemalangan tersebut, seorang penumpang di bahagian tengah telah meninggal dunia di tempat kejadian. Bedah siasat akan dijalankan pada petang ini. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MERSING - Seorang lelaki maut di tempat kejadian dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di KM 11 Jalan Jemaluang-Mersing awal pagi tadi.
  • KLUANG - Seorang bapa sedia memaafkan penunggang motosikal yang melanggar anak lelakinya, Muhammad Furqan Danial Md Fadzli, 2, di hadapan rumahnya di Jalan Intan 4/5, Taman Intan, di sini, 7 November lalu.
  • KOTA BHARU - Malang tidak berbau. Demikian nasib yang menimpa Mohd Fakhrul Muzammil Abdullah, 12, setelah maut dirempuh kereta yang masuk ke bengkel motosikal di Kampung Pak Badol, Bachok, kelmarin.
  • SEREMBAN - Seorang wanita nyaris maut apabila kereta yang dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam cenuram sebelum tersangkut di sebatang pokok dalam kejadian berhampiran Klinik Kesihatan Linggi, Port Dickson tengah hari tadi.
  • BALING - Kereta dipandu seorang lelaki yang sedang membuat pusingan U di Jalan Kulim-Baling-Gerik berhampiran Kampung Landak, di sini dirempuh motosikal, menyebabkan penunggangnya maut, malam tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.