HULU TERENGGANU - Kemudahan aplikasi mudah alih pasar tani atau ‘Mobile Apps’ antara medium pilihan terbaik bagi orang ramai mencari produk unik terutamanya makanan-makanan tradisional seluruh negara termasuk Terengganu.

Penyelaras Pasar Tani Terengganu, Halmi Hamzah berkata, selain memaparkan segala maklumat berkaitan pasar tani, aplikasi itu secara tidak langsung berperanan membantu dari aspek pelancongan.

“Aplikasi ini dilancarkan Mac lalu dan boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store dan Apple Store.

“Kemudahan ini menjadi nilai tambah perkhidmatan Fama menyebar luas maklumat pasar tani kepada pengguna.

“Selain memaparkan perbandingan harga barangan antara pasar awam dengan harga ditawarkan di pasar tani, melalui aplikasi ini juga, pengunjung dapat cari makanan unik yang jadi daya tarikan di pasar tani,” katanya, di sini, kelmarin.

Beliau ditemui Sinar Harian sewaktu Majlis Sambutan Aidilfitri Pasar Tani Kuala Ping, di Dataran Kampung Kuala Ping yang turut dihadiri Pegawai Fama Daerah Hulu Terengganu, Mohd Zulkhairi Razak.

Katanya, aplikasi ‘Mobile Apps’ turut memudahkan pengguna mencari lokasi bagi penggemar makanan termasuklah mereka yang mencari makanan unik dan tradisional yang terdapat di Pasar Tani Kuala Ping.

“Bagi Terengganu, setakat ini sudah hampir 20 pasar tani yang ada barangan komoditi segar dan makanan-makanan unik telah kita muat turun dalam aplikasi tersebut," katanya.

Katanya, produk komoditi segar buah-buahan berusia seperti durian kampung, rambutan serta duku juga dimuat turun dari semasa ke semasa dan orang ramai boleh membuat perbandingan harga dengan tempat lain.

“Penceritaan berkaitan mercu tanda tempat menarik atau destinasi pelancongan berhampiran pasar tani juga ada diceritakan. Kalau di Kuala Ping ini, tentunya Tasik Kenyir," katanya.

Dalam perkembangan berlainan, beliau turut mengingatkan para petani seluruh pasar tani di negeri ini mematuhi peraturan ditetapkan sambil memberitahu penguatkuasaan daripada pihak Fama dijalankan secara berskala.