KUALA TERENGGANU – Pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi mewakili swasta diharap dapat membantu pembangunan universiti berkenaan.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, beliau secara peribadi tidak menolak pelantikan dalam kalangan bukan Islam malah mengalu-alukan sumbangan yang boleh diberikan tokoh usahawan itu.

Menurutnya, kedudukan masyarakat berbilang kaum di negara ini menuntut supaya bersikap lebih terbuka dan berkongsi ruang kepada semua untuk memainkan peranan terutama dalam sumbangan kepakaran.

“Saya perlu melihat lebih lanjut sumbangan beliau (Fernandes) yang boleh diberikan terhadap objektif UniSZA yang identiti asalnya dari kolej agama milik kerajaan negeri.

“Pelantikan Fernandes oleh kerajaan PH adalah pilihan kerajaan yang ada sekarang. Beliau (Fernandes) seorang usahawan yang mempunyai nama di peringkat global dan mempunyai kelebihan tertentu yang boleh dimanfaatkan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ahmad Amzad turut menyatakan minat untuk bertemu dan berbincang serta berkongsi kepakaran bersama ahli perniagaan ternama itu.

“Saya ingin merakam ucapan tahniah kepada beliau. Saya berminat jika ada ruang boleh berbincang mengenai kerjasama kepakaran, teknikal dan ruang pelaburan untuk dibawa ke Terengganu,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, beliau berharap peneraju UniSZA sedia ada dapat mengangkat kembali peranan universiti itu yang sinonim dengan Islam dan memberi lebih ruang kepada individu berkelayakan dalam kalangan rakyat Terengganu.

“UniSZA yang kini di bawah Kementerian Pendidikan asalnya adalah Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) yang merupakan pusat pengajian tinggi milik Kerajaan Negeri Terengganu  yang menawarkan pelbagai kursus dengan imej Islam.

“Namun, selepas BN mengambil alih kerajaan daripada Pas, ia diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan dan hilang imej islamik yang menjadi identiti KUSZA,” katanya.