KUALA TERENGGANU – Persatuan Darul Fitrah Negeri Terengganu dengan kerjasama siswa & siswi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menjayakan Program Ziarah di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Pengerusinya, Norhana Abdullah berkata, seramai 20 orang sukarelawan dari Kelab MYV UMT telah mengambil bahagian dengan melawat kedua-dua wad untuk lelaki dan wanita di tingkat empat hospital tersebut.

“Sukarelawan berkesempatan mengajar pesakit cara wuduk dari tempat tidur dengan botol spray dan juga cara bagaimana untuk melakukan tayamum.

“Malah ada kalangan pesakit sangat gembira dengan kedatangan kami kerana mereka mendapat teman untuk berbual-bual,” katanya.

Dalam, pada itu, sebelum ini persatuan dengan kerjasama Persatuan Cina Muslim (Macma) Terengganu dengan kerjasama Pusat Islam UMT dan Muslim Youth Volunteer (MYV) dengan jayanya telah mengadakan kursus latihan sukarelawan ziarah hospital.

Menurutnya, kursus ini dihadiri 38  peserta iaitu daripada ahli Persatuan Darul Fitrah & Macma Terengganu, dan mahasiswa-mahasiswi UMT.

“Kursus Latihan Sukarelawan ini telah mengandungi beberapa slot yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Hanafi, pendakwah bebas. Beliau telah mengupas tentang panduan dan kepentingan berwuduk, bertayamum dan solat ketika sakit di hospital.

“Malah para peserta yang terlibat juga diberikan latihan tutorial secara rawak, bagaimana cara pesakit berwuduk menggunakan botol spray, bertayamum dan solat dalam keadaan baring, mengiring dan duduk di atas katil kepada pesakit,” katanya.