KUALA BERANG - Tanggapan air 'paras selamat’  sering disimpulkan penduduk melalui pengalaman mereka hadapi banjir sebelum ini tidak seharusnya dijadikan kayu ukuran atau penanda aras oleh mangsa-mangsa banjir untuk tidak segera berpindah ke pusat pemindahan sekiranya rumah mereka dinaiki air.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Penolong Penguasa Bomba Hairysam Mat Tahar berkata, sebaliknya penduduk yang sering berisiko seharusnya mengambil tindakan dan langkah awal dengan segera berpindah memandangkan pelbagai kemungkinan serta perkara tidak terjangka boleh berlaku.

“Tidak dinafikan saban tahun penduduk yang sama dari kampung-kampung sering terlibat banjir melalui pengalaman hadapi bencana sehingga ada di antara mereka yang menganggap ia sekadar perkara biasa. Situasi ini juga meletakkan segelintir daripada mereka tidak segera berpindah walaupun rumah dinaiki air.

“Pada tanggapan mereka, air masih berada di paras selamat dan tiada keperluan untuk berpindah pada waktu itu. Bagaimanapun kita ingin nasihatkan penduduk agar jangan menilai berdasarkan pengalaman kerana tindakan berpindah di saat-saat akhir bakal menimbulkan pelbagai kesukaran.

“Penduduk juga diingatkan agar patuh dengan arahan pihak berkuasa dan jangan berdegil sekiranya diarahkan berbuat demikian. Selain itu, ibu bapa juga diharapkan agar sentiasa mematuhi anak-anak mereka, jangan jadikan bencana banjir ini sebagai satu pesta,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, kelmarin.

Tambahnya, penduduk yang tinggal di kawasan berisiko diingatkan agar terus berhati-hati dan bersiap sedia hadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir berikutan keadaan cuaca tidak menentu memandangkan musim tengkujuh masih belum berakhir

“Kita juga mengharapkan penduduk turut mempunyai nombor telefon pasukan keselamatan atau pihak-pihak berkaitan agar dapat dihubungi jika berlaku sesuatu kecemasan.

“Pihak Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang juga kini sentiasa siap siaga dengan kekuatan anggota 52 orang serta 10  anggota Pasukan Bomba Sukarela Felda Bukit Bading,” ujarnya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :