BESUT - Gabungan Intelektual Pendidik Guru (Genius) Malaysia mengucapkan penghargaan terima kasih kepada Menteri Pendidikan kerana mengekalkan sembilan Institusi Pendidikan Guru (IPG) yang mahu ditutup oleh kerajaan terdahulu.

Presidennya, Dr Mohd Aziz Mohd Din berkata, pengumuman yang dibuat Dr Maszlee  Malik di Kuching, Sarawak pada 7 September lalu bahawa semua IPG terbabit dikekalkan bersama 18 IPG kampus lain seluruh negara amat dinantikan.

Menurutnya, pengumuman tersebut telah menggembirakan pelbagai pihak terutama sekali pensyarah dan warga IPG terlibat, guru dan masyarakat setempat.

"Ia juga telah menamatkan kegelisahan lebih tiga tahun warga IPG itu sekarang kerana mereka dapat memberi fokus terhadap tugas selaras dengan tranformasi IPG bagi menjamin kualiti guru berada pada tahap tinggi," kata mantan Pengarah IPG Kampus Sultan Mizan, Besut ini.

Mohd Aziz berkata, namun selepas selesai isu itu timbul pula desas desus mengatakan ada universiti  berminat mahu mengambil IPG.

Menurutnya, universiti dikatakan berminat kerana  mengetahui aset dan kemampun sumber manusia yang ada serta pendapatan yang boleh dijana dengan 30,000 pelajar IPG.

"Kita mengharapkan kepimpinan IPG tidak terpesona jika ada tawaran daripada universiti kerana sepatutnya IPG perlu dibangunkan supaya ia boleh seiring dengan universiti malah sekiranya menjadi peneraju pendidikan guru, IPG perlu mengatasi universiti dalam bidang pendidikan guru, " katanya.

Beliau berkata lagi, Genius berharap induk IPG iaitu  Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dapat mengekalkan fungsi IPG semula seperti sebelum ini

Menurutnya, rancangan IPGM untuk menjadikan sepuluh  IPG hanya sebagai Pusat Kursus Pembangunan Berterusan (CPD) pula iaitu untuk guru yang sedang berkhidmat dan tidak melaksanakan program Ijazah Sarjan Muda Penguruan seperti sebelum ini juga amat dikesali.

"Langkah ini merupakan satu langkah pembaziran kepakaran, sumber manusia, kelayakan dan kemudahan sedia ada kerana 10 IPG itu sudah mempunyai kelayakan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi pelbagai program Ijazah Sarjana Muda yang telah dijalankan.

"Kerajaan sebelum ini telah membelanjakan jutaan ringgit untuk mendapatkan pengiktirafan itu dan pengiktirafan itu akan hilang sekiranya progrma ijazah tersebut tidak lagi dijalankan," katanya.

Mohd Aziz mendakwa lagi, langkah IPGM yang  hanya mahu menawarkan program Praperkhidmatan (Ijazah Sarjana Muda Penguruan) hanya di 18 kampus IPG sahaja juga akan menyebabkan berlaku kesesakan di kampus tersebut apabila unjuran pengambilan pelajar bertambah antara 6,000  hingga 8,000 setahun dan akan  berjumlah 31,000  dalam tempoh lima pengajian  bermula sesi  tahun depan.

Menurutnya, akibatnya pelajar terpaksa menyewa di luar kampus yang mungkin boleh membawa masalah lain kepada pihak kampus.

"Oleh itu wajar dan lebih mudah sekiranya 11, 000 daripada 31, 000 pelajar yang diambil dalam tempoh lima tahun itu di tempatnya di 10 IPG tadi," katanya.

Beliau adalah individu yang memperjuangkan usaha untuk mengekalkan sembilan IPG yang dirancang untuk ditutup sebelum ini yang turut membabitkan IPG Kampus Sultan Mizan.

Mohd Aziz sebelum ini juga dilihat mengkritik tindakan IPGM yang dilihat oleh beliau tidak bersungguh-sungguh mempertahankan IPG.