KUALA TERENGGANU - Keadaan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Dr A Rahman Mokhtar kini agak stabil dan menerima rawatan terbaik di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Mahdi Musa berkata Dr A Rahman kini ditidurkan oleh pihak hospital bagi tujuan rawatan.

"Saya baru melawat beliau di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ tengah hari tadi dan nampaknya keadaan bertambah baik serta berharap semua pihak mendoakan agar kesihatan beliau cepat pulih.

"Beliau sentiasa ditemani keluarga, tetapi bilangan pelawat masih dihadkan. Alhamdulillah keadaannya bertambah stabil," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat Kolej Tesdec di Riyaz Heritage Resort & Spa di sini hari ini.

Dr A Rahman yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut dimasukkan ke Hospital Besut pada pagi Khamis dipercayai akibat masalah penafasan sebelum dirujuk ke HSNZ. - Bernama