KUALA BESUT – Dua beradik cedera selepas diserang menggunakan pisau oleh sepupunya sendiri di Kampung Pantai, di sini, kira-kira jam 7.45 malam semalam.

Mangsa berusia 24 dan adiknya 21 tahun cedera di beberapa anggota badan akibat dicederakan oleh suspek berusia 45 tahun yang merupakan penagih dadah.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, sebelum kejadian, adik lelaki mangsa yang berusia sepuluh tahun pulang ke rumah dan mengadu dipukul suspek.

Menurutnya, mangsa bersama seorang lagi adiknya yang berusia 21 tahun itu pergi ke rumah suspek untuk bertanyakan punca kejadian.

“Bagaimanapun keadaan bertukar menjadi sebaliknya apabila suspek bertindak menyerang dua beradik itu dengan menggunakan sebilah pisau,” katanya.

Mohd Zamri berkata, tindakan suspek menyebabkan mangsa mengalami luka di telinga kanan manakala adiknya cedera di kaki kanan.

Menurutnya, mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Kuala Besut dan sejurus kemudian polis telah melancarkan Ops Cantas bagi mengesan suspek.

“Polis berjaya memberkas suspek yang masih bujang itu di rumahnya yang terletak berdekatan rumah mangsa kira-kira jam 10 malam hari sama,” katanya.

Beliau berkata, saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

Sementara itu siasatan awal mendapati suspek memukul adik mangsa yang berusia 10 tahun dipercayai kerana tidak berpuas hati terhadap kanak-kanak itu bermain di rumahnya.

Mohd Zamri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.