MARANG - Pelbagai cara dan aktiviti dilakukan oleh individu mahupun organisasi bagi menarik perhatian umum dalam usaha menyemarakkan lagi sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.

Tidak terkecuali peniaga Pasar Tani Bukit Payong dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu yang menggunakan buah rambutan untuk mencipta  Jalur Gemilang.

Setiausaha Persatuan Peniaga Pasar Tani Bukit Payong,  Jamiah Bakar, 38, berkata, kesemua hasil kerja itu adalah bagi memperlihatkan semangat kenegaraan yang tinggi kepada rakyat Malaysia.

"Seramai 15 peniaga dan kakitangan Fama bersungguh-sungguh menghasilkan keceriaan ini sempena sambutan Hari Malaysia. Kami menggunakan 600 biji rambutan untuk buat replika Jalur Gemilang.

"Walaupun sebagai peniaga pasar tani, ia tidak bermakna kami terpinggir untuk bersama-sama menyemarakkan lagi sambutan Hari Malaysia pada tahun ini," katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Nor Naimah berkata, berkat kerjasama semua pihak terutama kakitangan dan pegawai Fama, mereka berjaya mengekspresikan Jalur Gemilang daripada buah rambutan dalam masa dua jam.

"Setelah semua bertungkus lumus menyumbangkan tenaga mereka, sudah tentu kami semua rasa berbaloi apabila lihat hasilnya," katanya.

Pengunjung di pasar tani itu boleh melihat Jalur Gemilang unik diperbuat daripada 600 biji buah rambutan seberat lebih kurang 20 kilogram itu apabila ia dijadikan perhiasan di tapak pasar tani.

Lebih menarik, pelbagai aktiviti turut diadakan seperti pertandingan gerai berhias, cabutan bertuah, jualan jimat belanja bagi barangan terpilih termasuk duku dijual pada harga empat kilogram RM10.