KUALA TERENGGANU- Padah menceroboh perairan negeri dan menunda ikan di zon yang tidak dibenarkan, dua bot dan 12 nelayan asing ditahan oleh penguat kuasa Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, awal pagi semalam.

Bot pertama ditahan kira-kira jam 4.30 pagi, iaitu 6.5 batu nautika dari Pantai Kuala Abang, Dungun manakala bot kedua ditahan kira-kira 9.3 batu nautika dari Pantai Rantau Abang, Dungun.

Timbalan Pengarah Perikanan Terengganu, Rusman Rusdy berkata, penahanan itu dibuat ekoran aduan daripada Skuad Sukarelawan Perikanan (Super), akibat pencerobohan yang semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini.

“Hasil pemeriksaan, bot pertama ini dari Pahang dan kita menahan lapan nelayan Vietnam manakala bot kedua adalah bot tempatan dan kita tahan empat nelayan Thailand. Kesemua mereka mempunyai lesen yang dibenarkan.

“Tetapi kita dapati mereka melanggar syarat dan menceroboh zon tangkapan ikan yang dibenarkan serta beroperasi di kawasan larangan tangkapan ikan.

“Nilai rampasan ikan adalah RM20,000 (nilai lelongan ikan) manakala keseluruhan barang sitaan termasuk bot dan peralatan berjumlah kira-kira RM1 juta.

"Kesemua nelayan yang berusia antara 20 hingga 50 tahun itu kini ditahan mengikut Akta Perikanan 1985 untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui di Jeti Perikanan Chendering di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Unit Bahagian Perlindungan Sumber, Jabatan Perikanan negeri, Hairul Affendy.

Rusman berkata, tangkapan itu adalah yang ke-20 dibuat Unit Perlindungan Sumber, Jabatan Perikanan Terengganu pada tahun ini.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA KEDAH - Beberapa bot pukat tunda dikhuatiri menceroboh kawasan tangkapan antara dua hingga tiga batu nautika dari pantai di perairan Kuala Kedah, di sini, sejak beberapa bulan lepas.
  • BACHOK - Lapan buah bot zon A ditahan anggota penguatkuasa Jabatan Perikanan negeri Kelantan di perairan Kuala Besar, Kota Bharu pagi semalam berikutan menceroboh kawasan larangan kurang dari dua batu nautika dekat sini​.
  • BACHOK - Lima buah bot nelayan tempatan zon A ditahan sepasukan anggota Penguatkuasa Jabatan Perikanan Negeri Kelantan di perairan daerah Bachok dan Pasir Puteh berikutan melanggar syarat lesen dan berada di luar had kawasan yang ditetapkan.
  • KOTA KINABALU - Sembilan nelayan warga Vietnam dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mereka mengaku bersalah memasuki dan melakukan aktiviti perikanan di kawasan perairan Malaysia secara haram pada Ogos lalu.