KUALA TERENGGANU - Dungun dan Kemaman dilanda banjir gelombang kedua apabila rumah penduduk dinaiki air ekoran hujan lebat melanda dua daerah itu sejak empat hari lalu.

Sehingga jam 6 petang tadi, seramai 344 mangsa telah dipindahkan ke lima pusat pemindahan yang dibuka di dua daerah berkenaan.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA), Che Adam A Rahman berkata, Dungun menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 252 mangsa telah berpindah setakat ini.

"Semua mangsa di Dungun ditempatkan di dewan orang ramai Kampung Shukor dan dewan orang ramai Pasir Raja," katanya hari ini.

Di Kemaman pula katanya, seramai 91 penduduk yang terjejas dipindahkan ke tiga pusat pemindahan iaitu dewan orang ramai Teladas, surau Haji Othman, Kampung Seberang Tayor Hulu dan surau Kampung Ban Ho.

Menurut Che Adam, sungai Dungun di Kuala Jengai sudah melepasi paras bahaya dengan bacaan 21.62 (bahaya 21.00) manakala sungai Dungun di Pasir Raja melebihi paras amaran.

"Sungai lain masih berada pada tahap waspada," katanya.