KERTEH - Seramai 40 pelajar daripada 10 buah sekolah menengah di negeri ini meraih pengalaman berharga dalam konservasi penyu menerusi Kem Penyu Terengganu anjuran WWF-Malaysia dan Pusat Kreativiti Terengganu (PSKT) yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Santuari Penyu Ma’ Daerah.

Pegawai Kanan Pemuliharaan Marin WWF-Malaysia, Sharifah Ruqaiyah Syed Mustafa berkata, mesej utama kem penyu itu diadakan adalah untuk mendidik pelajar bahawa penyu bukan sahaja warisan semula jadi dan ikon untuk Terengganu tetapi juga mempunyai peranan penting dalam ekosistem marin.

“Orang ramai memainkan peranan yang signifikan dalam membantu untuk menghentikan perdagangan dan pemakanan telur penyu.

“Oleh itu, amat penting untuk mendidik generasi akan datang mengenai kepentingan melindungi penyu kerana sokongan mereka terhadap perjuangan ini akan memberi makna besar kepada usaha yang bertujuan untuk melindungi penyu,” katanya.

Antara aktiviti yang diadakan pada kem itu seperti perlumbaan penyu, pelepasan anak penyu, meronda pantai, memperkenalkan Program Sekolah-Eko oleh WWF-Malaysia serta perkongsian pengalaman dalam konservasi penyu oleh Persatuan Khazanah Rakyat Ma’Daerah (MEKAR) dan Persatuan Pencinta Alam.

Kemuncak kem ini apabila pelajar berjalan menyusuri pantai dan terlibat dalam aktiviti konservasi seperti meronda di kawasan pantai penyu bertelur dan melepaskan anak penyu yang baru tetas ke laut.

Para pelajar mendapat pengalaman untuk bertindak seperti aktiviti pemuliharaan ataupun peronda sukarelawan pada waktu malam mencari telur penyu, di mana ia dikumpulkan dan dipindahkan ke tapak penetasan.

Satu lagi aktiviti popular adalah perlumbaan penyu di mana para peserta dalam kumpulan bertanding dalam stesen permainan yang bertujuan untuk membangunkan sifat kepimpinan dan kerja berpasukan.

Selain itu, Sharifah Ruqaiyah berkata, program kembara hutan turut dijalankan yang mana peserta terpaksa berjalan selama tiga jam meredah Bukit Labohan namun pada masa sama dapat menyaksikan kepelbagaian jenis flora dan fauna.

Pelajar yang menyertai kem itu terdiri daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) SMK Permaisuri Nur Zahirah (Besut), SMK Lembah Bidong (Setiu), SMKT Kuala Terengganu (Kuala Nerus), SMK Sultan Mansur (Kuala Terengganu), SMK Merchang, SMK Seri Berang (Hulu Terengganu), SMK Pulau Serai (Dungun), SMKA Kuala Abang (Dungun), SMK Kerteh (Kemaman) dan SMK Sultan Ismail (Kemaman).

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • DUNGUN - Seekor penyu agar dari spesies chelonia mydas yang terperangkap dalam pukat tunda hanyut berjaya diselamatkan oleh dua pekerja ladang Rimbunan Kasih, di sini, kelmarin.
  • DUNGUN - Seekor penyu betina berusia 30 tahun yang diberi nama Puteri Tioman dilepaskan semula ke laut selepas dirawat selama tiga bulan di Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang.
  • KEMAMAN - Empat ekor penyu yang nyaris mati akibat tersangkut pada pukat di tengah lautan diselamatkan sekumpulan lima nelayan Kuala Kerteh, pagi kelmarin.
  • DUNGUN - Kakitangan Pusat Penyu dan Spesies Marin Terancam (Tumec), FRI Rantau Abang serta Pusat Penerangan Penyu Jabatan Perikanan Terengganu giat membuat rondaan di sekitar pantai Rantau Abang sehingga ke Jambu Bongkok bagi memantau kunjungan seekor penyu belimbing yang dijangka bertelur untuk kali ketiga.
  • PORT DICKSON - Bangkai seekor penyu jenis karah ditemui oleh nelayan di Pantai Sea View Tanjung Gemok sekitar jam 7.30pagi tadi.