KUALA TERENGGANU - Kira-kira 22, 300 penduduk di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dijangka terjejas, ekoran sebahagian kawasan di daerah berkenaan akan mengalami gangguan bekalan air dan tekanan rendah.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (Satu), Ir Atemin Sulong berkata, ia kesan daripada peningkatan penggunaan serentak pada musim perayaan Aidil Fitri kali ini.

Susulan itu katanya, sebahagian kawasan di Kuala Terengganu akan mengalami tekanan air rendah iaitu di Kampung Bukit, Surau Haji Daud, Surau Panjang, Tok Dir, Tok Pong, Tok Peh, Surau Haji Yaakob, Chendering, Kuala Ibai, Tok Adis, Padang Negara, Mengabang Tengah dan Gong Tok Nasek.

Turut terlibat, Kampung Pak Maseh, Kampung Nibong, Perumahan Permint Jaya, Kedai Buloh, Titian Baru, Atas Tol, Pengkalan Setar, Gong Pipit, Gelugor, Pengadang Baru, Kampung Laut, Belukar Jambu, Tok Molor, Sungai Derhaka, Kampung Bukit Bayas dan sekitarnya.

Manakala di Kuala Nerus, antara kawasan yang terlibat ialah sekitar kawasan perindustrian Gong Badak, RAKR Gong Badak, Kampung Alur Jambu, perumahan sekitar Institut Latihan Perindustrian Gong Badak, Kampung Padang Nanas, Bukit Chempaka dan Bukit Wan.

Selain itu, Lingai, Bukit Nenas, Pagar Ubi, Padang Hangus, perumahan RAKR Banggol Peradong, Banggol Peradong, Bukit Petiti, Kampung Telari, Kampung Kubang Lembek, sebahagian Kampung Kesom dan sebahagian Kampung Pulau Bahagia.

“Sebagai langkah penyelesaian, pihak Satu akan membuat penghantaran air melalui lori tangki ke kawasan kritikal.

“Pada masa yang sama, kita nasihatkan agar pengguna berjimat cermat di dalam penggunaan air dan melaporkan segera sebarang kebocoran yang dijumpai serta menyimpan air yang secukupnya bagi menampung kegunaan harian,” katanya.

Untuk keterangan lanjut, pengguna boleh menghubungi petugas Satu di careline Satu, 1-300-882-111.