DUNGUN - Syawal kali ini membawa kisah duka kepada ibu tinggal lima anak, Ramlah Uda, 45 apabila tempat mereka sekeluarga berlindung ranap dalam kebakaran.

Dalam kejadian pada 1 Syawal, rumah PPRT yang didiami keluarga ini di Kampung Minda, tiba-tiba sahaja terbakar tanpa diketahui punca.

Ramlah berkata, sewaktu kejadian dia sedang membasuh pinggan di dapur dan menyedari asap tiba-tiba keluar dari salah sebuah bilik.

Menurutnya, apabila diperiksa didapati api sedang marak di dalam bilik.

“Apabila melihat api marak di dalam bilik, saya menjirus air dan melempar kain basah tetapi tak jadi apa-apa kerana api sudah besar.

“Saya cuba menyelamatkan apa sahaja barang yang sempat dan mencampak tiga balang gas ke luar bagi mengelak ia meletup.

“Dengan bantuan orang kampung api berjaya di padam tetapi keadaan rumah sudah teruk,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Kebakaran membabitkan kemusnahan 50 peratus.

Katanya, dia bersama lima anak dan seorang cucu kini terpaksa menumpang di balai raya kampung berkenaan kerana tiada tempat lain untuk dituju.

“Kami tinggal di rumah PPRT ini sejak 2014 dan sekarang berlaku pula musibah seperti ini.

“Atas persetujuan kepimpinan kampung, kami dibenarkan menumpang di balai raya.

“Kalau ditanya pasal sedih, memanglah sedih dengan musibah ini, lebih-lebih lagi berlaku pada hari raya,” katanya.

Wanita berkenaan berharap ada pihak tampil membantu supaya dia dan keluarga dapat menjalani kehidupan lebih selesa.

“Kalau nak bina sendiri rumah lain memang saya tidak mampu.

“Nak tinggal di rumah yang terbakar memang sudah tidak selamat.

“Buat masa sekarang saya menerima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya berterima kasih kepada Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli dan kepimpinan lain yang turun padang memberi perhatian.

“Memang saya berharap bantuan pembinaan rumah atau baik pulih disegerakan,” katanya.

Musnah 50 peratus

Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Bandar AMBS, Jaswari Awang berkata, seramai 11 anggota bomba dikejarkan ke lokasi untuk operasi memadam kebakaran.

“Pihak kami menerima panggilan kecemasan pada jam 12.13 tengah hari.

“Ketika tiba di lokasi, kebakaran sudah berjaya dipadam oleh orang awam menggunakan tiga unit alat pemadam dan semburan air paip.

“Kebakaran membabitkan kemusnahan 50 peratus  dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan, “katanya.

Cadang gotong royong baik pulih rumah

Sementara itu, Pengerusi Majlis Dun Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, masalah berkenaan akan dirujuk kepada pihak berwajib termasuk JKM.

“Kita cadangkan keluarga ini dapat dibantu menerusi Tabung Darul Iman (TDI).

“Kita juga cadangkan kerja baik pulih rumah dilaksanakan dengan konsep gotong-royong dengan secepat mungkin.

“Kita juga berterima kasih kepada penduduk kampung yang prihatin dalam membantu memadam kebakaran," katanya.

Kepada sesiapa yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh salurkan ke akaun BIMB 13044020888095 atas nama Ramlah Uda.