SHAH ALAM - Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 menetapkan umur minimum perkahwinan bagi lelaki adalah 18 tahun manakala perempuan 16 tahun.

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dalam satu kenyataan hari ini berkata, perkahwinan di bawah umur dimaklumkan hanya boleh dilaksanakan selepas mendapat kebenaran secara bertulis daripada hakim syarie.

"Ibu, bapa atau penjaga beragama Islam yang berhasrat melangsungkan perkahwinan anak-anak di bawah had umur minimum juga dinasihat memastikan anak mereka bersedia fizikal dan mental serta patuh undang-undang berkuat kuasa di Selangor.

"Ia bagi menjamin kebajikan dan kemaslahatan kanak-kanak terlibat," kata kenyataan itu.

Mengulas isu perkahwinan kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun dengan seorang lelaki berusia 41 tahun di Selatan Thailand baru-baru ini, Pengerusi Mais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, undang-undang menetapkan had umur minimum perkahwinan orang Islam di Selangor wujud sejak tahun 1984.

Bagaimanapun katanya, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 1984

dimansuhkan, peruntukan yang sama dikekalkan dalam undang-undang yang baharu iaitu di bawah seksyen 8 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

“Enakmen ini memperuntukkan tiada perkahwinan boleh diakadnikahkan jika lelaki  berumur kurang daripada 18 tahun atau perempuan berumur kurang 16 tahun.

“Bagaimanapun, sekiranya wujud hal tertentu yang menyebabkan perkahwinan di bawah umur tersebut perlu dilaksanakan, ia hanya boleh dibuat dengan kebenaran secara bertulis daripada hakim syarie terlebih dahulu,”katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan tertentu, mahkamah akan mengarahkan kanak-kanak tersebut menjalani pemeriksaan perubatan dikendalikan pegawai perubatan dan laporan perlu dikemukakan kepada mahkamah.

Bagi memastikan tiada unsur paksaan dalam perkahwinan yang dipohon, hakim syarie juga akan memanggil kanak-kanak terlibat untuk memberi keterangan secara berasingan tanpa kehadiran ibu bapa atau penjaga yang menjadi pemohon.

Menurutnya, sebarang kelulusan diberi oleh hakim syarie hanya akan dibuat setelah mempertimbangkan segala faktor dan laporan yang dikemukakan kepada Mahkamah Syariah dan pelaksanaan permohonanakan dibuat secara berhati-hati.

Permohonan bagi mendapat kebenaran untuk perkahwinan bawah umur tersebut perlu difallkan oleh ibu bapa atau penjaga dan kanak-kanak tersebut.

“Semasa pendengaran permohonan tersebut, hakim syarie akan mengarahkan kanak-kanak tersebut menjalani sesi kaunseling dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah berkaitan.

“Selepas sesi kaunseling, laporan bertulis mengandungi penilaian pegawai JKM berhubung latar belakang sosio ekonomi kanak-kanak tersebut, kesediaan fizikal, mental dan perkara lain dirasakan perlu akan dikemuka kepada Mahkamah Syariah,”katanya.

Ujarnya lagi,  perkahwinan bawah umur oleh mana-mana pihak tanpa mendapatkan kebenaran bertulis daripada Hakim Syarie di Negeri Selangor adalah merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 40 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Mereka yang terlibat boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.