SEMENYIH – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Gagasan Prihatin Semenyih (GPS) akan menghantar laporan hasil analisis pemantauan kualiti air Sungai Semenyih yang dilaksanakan selama enam bulan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.

Pengerusinya, Azman Ahmad berkata, secara umumnya tidak berlaku pencemaran Sungai Semenyih sepanjang tempoh pemantauan yang dibiayai Global Environment Centre (GEC) melalui geran River Care We Care.

“Bagaimanapun, pemantauan GPS menemui pelbagai kemungkinan boleh menyebabkan sungai tercemar antaranya ialah sisa pembuangan industri, najis haiwan dan kesan daripada pertanian, pembangunan tanah dan pembuangan sampah oleh manusia.

“Sepanjang program ini berlangsung, peserta program turun ke Sungai Semenyih dan kawasan sekitar untuk menjalankan uji kaji dan pensampelan air sebanyak 15 kali dalam tempoh enam bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan penutupan Program Pemantauan Sungai Semenyih, di sini, semalam.

Menurutnya, uji kaji kualiti air itu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh GEC selain GPS menerbangkan dron sebanyak empat kali bagi membantu kerja-kerja pemantauan.

“Melalui pemantauan fizikal dan dron, GPS dapat melakar pemetaan Sungai Semenyih. Daripada bukti gambar udara, beberapa lokasi perlu diberi perhatian oleh agensi yang berkaitan.

“Ujian coliform pula mengesahkan wujudnya bahan terampai yang jika secara berterusan dan dalam kuantiti tidak terkawal yang berkemungkinan air Sungai Semenyih boleh memudaratkan kesihatan,” katanya.

Menurutnya, secara keseluruhan kualiti air Sungai Semenyih bertaraf sederhana bersih namun ia tidak boleh diminum secara terus.

“Melalui program ini juga, GPS menyampaikan maklumat kepada orang awam dan pelajar sekolah agar mereka lebih peka kepada pemeliharaan sungai. Sebanyak 3,000 poskad diedarkan selain maklumat-maklumat penting yang disiarkan oleh media massa.

“Kami berharap orang ramai sedar mengenai kepentingan sungai sebagai sumber air kepada lebih dua juta penduduk di Lembah Klang dan Selangor,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.