SABAK BERNAM - Sepasang suami isteri warga emas mengalami kecederaan serius di bahagian kaki selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Lama Kuala Selangor-Sabak Bernam berdekatan simpang tiga Taman Padu Permai, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa, Mohammed Taib Abbas, 77, dan isterinya, Jamaliah Raban, 71, yang menaiki motosikal jenis Yamaha Lagenda itu bertembung dengan sebuah motosikal lain dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan, Nor Azmi Isa berkata, mangsa lelaki mengalami patah pergelangan kaki kiri manakala isterinya mengalami retak tulang kaki kiri.

"Motosikal yang ditunggang lelaki itu dari arah Sungai Besar dan ingin membelok ke kanan sebaik tiba di simpang tiga berkenaan.

"Namun, belum sempat motosikal itu melintas, terdapat sebuah motosikal lain dari arah bertentangan tidak sempat membrek, lalu merempuh motosikal dinaiki pasangan berkenaan," katanya.

Nor Azmi berkata, kejadian itu mengakibatkan pasangan suami isteri itu cedera dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.

"Bagaimanapun, pasangan itu kemudiannya dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut," katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, anak mangsa, Agus Salim Mohammed Taib, 36, berkata, kejadian berlaku ketika ibu dan bapanya ingin mendapatkan ubat alahan kulit di Klinik 1Malaysia Sungai Besar.

Agus berkata, ibu dan bapanya itu ke Pekan Sungai Besar dari rumah mereka di Parit 5 Barat sebelum pergi ke klinik itu untuk mendapatkan ubat.

"Pada masa kejadian, saya berada di rumah. Saya dapat tahu kemalangan yang menimpa ayah dan emak bila jiran depan rumah datang dan maklumkan kejadian.

"Saya dimaklumkan, kedua orang tua saya sudah dibawa ambulans ke hospital  dan saya terus bergegas ke sana (hospital)," katanya.

Agus Salim memberitahu, keadaan bapa dan ibunya itu kini stabil setelah menjalani pembedahan awal pagi tadi di Hospital Teluk Intan. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besar, Al Hafiz Asmuni berkata, anggota bertugas bergegas ke tempat kejadian sebaik terdengar bunyi pelanggaran motosikal itu untuk memberi bantuan.

"Anggota saya terdengar bunyi kemalangan dan terus bergegas ke lokasi kejadian yang terletak hanya kira-kira 100 meter dari balai ini (Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besar).

"Kita telah menghubungi pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sungai Besar untuk bantuan ambulans bagi menghantar mangsa ke HTAJ, Sabak Bernam," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KEPALA BATAS - Beberapa pemandu kenderaan mengalami kecederaan selepas lima buah kereta bertembung dengan sebuah kereta dipandu secara melawan arus di Kilometer 116 dan 123.4 menghala utara di Lebuhraya Utara Selatan (Plus), di Bertam di sini awal pagi ini.
  • LABIS - Hasrat seorang lelaki di Taman Karas, di sini, untuk membawa isterinya pergi bercuti ke Langkawi pada 8 Ogos ini tidak kesampaian apabila isterinya maut dalam nahas jalan raya pada 8 Julai lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.