CHERAS - Sisa sampah yang tersangkut di saliran perparitan berdekatan Lebuhraya Silk dikenal pasti antara punca kejadian banjir kilat berlaku di Batu 11, Cheras Isnin lalu.

Adun Balakong, Eddie Ng Tien Chee berkata, pihaknya menjalankan pemantauan di tiga lokasi termasuk berdekatan tapak pembinaan di Cheras Trader’s Square (CTS), perparitan di sepanjang Lebuhraya Silk (hadapan Aeon Cheras Selatan) dan kolam takungan di tapak letak kereta CTS.

Menurutnya, setelah memeriksa ketiga-tiga lokasi berkenaan, didapati ‘sump’ perparitan di lokasi paling rendah ke tempat pengumpulan dan pelepasan air ke Sungai Langat dipenuhi sampah.

[ARTIKEL BERKAITAN: Beberapa kawasan di Balakong dilanda banjir kilat]

“Ia ganggu aliran air ke sungai sekali gus menyebabkan banjir kilat. Kakitangan lebuh raya sudah bersihkan sampah sarap berkenaan dan kami akan pantau keadaan di tapak selain naik taraf mana-mana bahagian sistem perparitan di sekitar Batu 11 Cheras.

“Kejadian banjir juga didapati berpunca daripada taburan hujan luar biasa iaitu 71mm per jam berbanding dengan taburan biasa iaitu 12mm per jam," katanya.

Beliau dalam pada itu meminta orang ramai lebih prihatin dan tidak membuang sampah merata-rata.

“Kamu yang buang sampah pada hari biasa, kamulah yang menerima hakikat rumah banjir ketika musim hujan,” katanya lagi.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan hujan lebat lebih sejam di ibu negara Isnin lalu menyebabkan sekitar kawasan Balakong dilanda banjir.

Beberapa buah kenderaan dilapor terkandas malah kira-kira 30 buah rumah turut terjejas namun tiada pusat pemindahan dibuka kerana banjir mulai surut selepas tiga jam kemudian.