SABAK BERNAM - Sebanyak 17 kawasan dikenal pasti berisiko tinggi di daerah Sabak Bernam bagi menghadapi ancaman fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku 10 hingga 12 September ini.

Pengerusi Pengurusan Bencana Daerah Sabak Bernam, Nasir Mamat berkata, kawasan itu merangkumi beberapa institusi pendidikan di Kampung Sungai Lang, Pantai Bagan Nakhoda Omar, Bagan Tebuk Mendeling, Kampung Sungai Air Tawar dan Parit Baru.

"Kawasan lain, Persisiran Panchang Bedena, Bagan Sungai Burong, Kampung Sekendi, Pantai Bagan Sungai Besar dan Persisiran Pantai Kampung Sungai Gatal.

"Di sebelah Sekinchan pula meliputi kawasan Sekolah Agama Menengah (Sam) Pasir Panjang, Bagan Sekinchan, Jalan Seri Sentosa 2 dan Pantai Batu 23 Sungai Nibong," katanya.

Nasir yang juga Pegawai Daerah Sabak Bernam berkata, berdasarkan pecahan itu, sebanyak tiga pusat penempatan banjir dibuka sebagai persediaan jika berlaku di kawasan berisiko terbabit.

"Tiga pusat penempatan banjir itu ialah di Dewan Parit Baru Sungai Air Tawar, Dewan Sri Bernam Sungai Besar dan Dewan Seri Sekinchan," katanya.

Beliau memberitahu, sebagai langkah berjaga-jaga, pihaknya telah mengarahkan agensi penyelamat dan teknikal membuat pemantauan di kawasan pesisir pantai pada tarikh tersebut terutama pada waktu pagi.

"Sekiranya hujan lebat dan keadaan angin kencang berlaku, risiko banjir juga meningkat," katanya.

Sehubungan itu, tegasnya, penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan supaya mematuhi arahan pihak berkuasa keselamatan dan mengambil langkah persediaan sekiranya diarahkan berpindah ke penempatan banjir.

"Penduduk dinasihat berpindah ke pusat pemindahan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

"Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh hubungi urus setia bencana daerah di talian 03-3224 7058/1963," katanya.