KULAIJAYA – Cubaan penjenayah merompak mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dari sebuah bank di Jalan Susur Kulai 4, Taman Sri Kulai di sini, semalam menemui kegagalan.

Kejadian hanya disedari sekumpulan pekerja syarikat keselamatan kira-kira jam 10 pagi, semalam ketika mereka ditugaskan memasukkan wang ke dalam mesin ATM di bank berkenaan.

Cubaan memecah peti ATM itu dipercayai dilakukan penjenayah pada awal pagi namun tidak berjaya dan meninggalkan tempat kejadian dengan tangan kosong sebelum kakitangan bank memulakan tugas pada jam 8 pagi.

Sinar Harian difahamkan, penjenayah berjaya  memecah masuk ke tempat mesin ATM diletakkan di sebuah bilik khas melalui sebuah pintu kayu.

Ketika kejadian, sistem penggera keselamatan dan kamera litar tertutup (CCTV) di situ tidak berfungsi dipercayai dirosakkan,  menyebabkan kes lewat dikesan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya mengesahkan kejadian itu dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah rumah.

“Kita menerima laporan pada kira-kira jam 10 pagi oleh pekerja syarikat keselamatan dan masih meneruskan siasatan untuk jejak penjenayah.

“Ini kejadian pertama membabitkan kes pecah ATM di daerah ini namun tiada kerugian direkodkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menguji keberkesanan sistem iaitu keupayaan strategik Network Centric Operations (NCO) yang dibangunkan dalam memantapkan kawalan keselamatan.
  • KOTA BHARU - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memandang serius penglibatan anggotanya dalam penagihan dadah dan tidak akan berkompromi terhadap mereka yang terlibat.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.