KUALA SELANGOR – Padah buat 10 pengguna jalan raya apabila mereka dikenakan saman apabila melanggar lampu isyarat merah sempena Op Lampu Merah di KM45 Jalan Klang-Teluk Intan, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab berkata, operasi sempena Op Selamat Kuala Selangor itu merekodkan 32 saman atas pelbagai kesalahan dalam tempoh satu jam.

Menurutnya, dua pengguna jalan raya yang dikesan tidak memiliki lesen dan empat lagi memiliki lesen tamat tempoh turut dikenakan saman sebagai pengajaran.

“Selain itu polis turut mengesan kesalahan cukai jalan luput tarikh, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, gagal pamer tanda 'L' dan 'P', tidak memakai tali pinggang dan tayar botak.

“Bagaimanapun tangkapan dan sitaan kenderaan tidak dibuat dalam operasi ini,” katanya sempena Op Lampu Merah di KM45 Jalan Klang-Teluk Intan di hadapan IPD Kuala Selangor.

Md Asri berkata, operasi diketuai Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, ASP Lim Beng Thye itu dengan kekuatan enam pegawai dan anggota.

“Sebanyak 100 kenderaan pelbagai jenis iaitu 30 motosikal, 40 kereta, 20 lori dan 10 bas melibatkan 140 orang diperiksa dalam operasi ini.

“Saya nasihatkan orang ramai khususnya pengguna jalan raya di daerah ini supaya patuhi peraturan sedia ada demi keselamatan sekali gus mengurangkan kadar kemalangan maut,” katanya.

Op Lampu Merah sempena Op Selamat Tahun Baharu Cina Peringkat IPD Kuala Selangor 2018 itu dijalankan serentak hari ini melibatkan empat zon iaitu zon utara, selatan, timur dan tengah.

Zon utara melibatkan daerah Sabak Bernam sehingga Klang Selatan, zon selatan pula melibatkan kawasan Kuala Langat, Sepang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Serdang.

Manakala zon timur pula bermula Hulu Selangor, Sungai Buloh, Gombak dan Ampang Jaya dan zon tengah melibatkan Petaling Jaya, Kajang, Subang Jaya dan Shah Alam.