• PKNS realisasikan rumah impian Bakal pemilik pangsapuri mampu milik meninjau pelan rumah di bilik pameran.
  • PKNS realisasikan rumah impian Wajah ceria bakal pemilik unit pangsapuri menunjukkan surat tawaran mereka.
  • PKNS realisasikan rumah impian Sesi cabutan undi lot kediaman.
1 /

BANGI – Dalam usaha memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada rakyat Selangor, Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah menyerahkan surat tawaran kepada 112 pemilik pangsapuri mampu milik.

Timbalan Pengurus Besar (Pentadbiran dan Pembangunan) PKNS, Noraida Mohd Yusof berkata, PKNS turut memberi subsidi sebanyak RM12 juta untuk projek ini menerusi harga kediaman berpatutan yang ditawarkan iaitu antara RM 60,000 hingga RM 144,000 seunit.

“PKNS dijangka akan membelanjakan sebanyak RM1.1 bilion subsidi bagi merealisasikan pembangunan projek ini sebagai salah satu CSR.

“Kami akan mengekalkan konsep Kasih PKNS di mana pembangunan projek perumahan mampu milik ini akan memberi penekanan kepada persekitaran lestari dan holistik untuk isi rumah,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Rumah Mampu Milik PKNS di Kompleks PKNS Bangi, semalam.

Menurut beliau, kesemua pemilik tersebut ditawarkan PKNS untuk memiliki salah sebuah daripada 124 unit pangsapuri enam tingkat di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi yang mula dimajukan pada 2011.

“Dengan keluasan antara 700 hingga 800 kaki persegi, ia dilengkapi dua atau tiga bilik tidur serta dua bilik air. Daripada 124 unit yang ditawarkan, empat daripadanya dikhaskan untuk orang kurang upaya (OKU) dan warga emas yang terletak di tingkat bawah dengan reka bentuknya mengambil kira keperluan golongan tersebut,” katanya.

Noraida berkata, projek ini dijangka siap pada Februari depan sementara Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dijadualkan pada Jun manakala penyerahan kunci bermula Julai 2013.

“PKNS turut menyediakan pelan perancangan rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun  dengan rancangan membina lebih 10,000 unit rumah mampu milik termasuk di Bandar Baru Bangi, Antara Gapi, Kota Puteri, Gombak, Seksyen U12, Taman Sains Selangor II dan Bandar Sultan Suleiman, Klang,” katanya.

Sementara itu, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad ketika menyampaikan surat tawaran kepada penerima yang disenarai pendek oleh Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) berkata, projek ini dilaksanakan secara telus.

“Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor telah membuktikan kita berupaya menyediakan keperluan rakyat namun masih dipertikaikan. Walaupun isu perumahan senang dipolitikkan bagaimanapun dalam pelaksanaan ia tidak semudah itu,” katanya.

Dalam pada itu, rata-rata penerima yang ditemui meluahkan rasa syukur dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan PKNS kerana memudahkan golongan berpendapatan rendah memiliki rumah idaman dengan harga yang rendah.