KLANG - Gara-gara terkejut selepas bertembung dengan seorang penduduk, dua lelaki bertindak meninggalkan mayat yang dibungkus dengan selimut di tepi Jalan Kasban, Meru, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, penduduk yang juga saksi berusia 20 an itu memaklumkan dia ternampak dua lelaki mengheret sesuatu untuk dibawa naik ke motosikal ketika melalui jalan berkenaan.

"Sebaik menyedari kehadiran saksi, suspek bertindak mengeluarkan parang menyebabkan saksi melarikan diri ke Balai Polis Meru untuk memaklumkan kejadian itu.

"Sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi dan menemui mayat seorang lelaki dibungkus selimut berada di tepi jalan tersebut," katanya.

Menurutnya, pihaknya percaya suspek bertindak meninggalkan mayat di jalan berkenaan kerana khuatir perkara itu akan terbongkar.

"Kita juga percaya mayat itu mungkin terjatuh ketika dibawa dengan motosikal dan dua lelaki itu cuba mengangkatnya semula disyaki untuk dibuang ke tempat lain.

"Siasatan awal mendapati mangsa merupakan warga asing ekoran tidak terdapat suntikan Bacillus Calmette-Guerin (BCG) di bahagian lengannya," katanya.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk dibedah siasat.

"Hasil bedah siasat mendapati terdapat beberapa kesan tikaman antaranya di dada, perut, belakang badan serta kecederaan di bahagian kepala.

"Kini polis giat mengesan dua suspek berkenaan bagi membantu siasatan," katanya.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GEMAS - Pencarian seorang abang terhadap adiknya berakhir dengan penemuan menyayat hati apabila adiknya ditemui tergantung di dalam stor tempat simpanan barangan rumah mereka di Felda Jelai 2, di sini, malam semalam.
  • BUKIT MERTAJAM - Mayat seorang lelaki ditemui dengan beberapa kesan kecederaan di badannya dipercayai dibunuh, dalam longkang sebuah stesen minyak di Jalan Jelawat 2, Seberang Jaya di sini petang tadi.
  • KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Daerah Maritim 9 (DM9) Terengganu tidak menolak kemungkinan dua mayat ditemui terapung pada Sabtu dan Ahad lalu di perairan Marang berhampiran Pulau Kapas adalah mayat nelayan tempatan.
  • MARANG - Mayat dipercayai seorang lelaki tanpa sebarang identiti ditemukan dalam keadaan terapung di kawasan perairan Marang dekat Pulau Kapas di sini, tengahari tadi.