BATU CAVES - Pemuda Umno akan memberikan bantuan segera kepada keluarga mangsa pelajar pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar awal pagi tadi.

Pengerusi Briged Kesatria Muda Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah, beliau sendiri yang mewakili sayap itu akan melawat keluarga mangsa di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.

"Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sudah sedia maklum mengenai perkara dan beliau telah mengarahkan jentera Pemuda untuk melakukan kerja-kerja pemberian bantuan dengan segera.

"Jadi, kami sudah berbincang berhubung pelancaran tabung kilat sebentar tadi. Cumanya, kami tidak tahu bantuan jenis apa yang diperlukan oleh keluarga mangsa," katanya selepas menghadiri program kolaborasi latihan superbike antara GiatMara dan Kawasaki Motors (Malaysia) di GiatMara Batu di sini, sebentar tadi.

Oleh demikian, Armand berkata, beliau serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan ke HKL, untuk menziarahi keluarga mangsa, sambil bertanya jenis bantuan apa yang diperlukan oleh keluarga mangsa.

Namun, beliau sedikit terkilan dengan insiden yang berlaku dan menyatakan bahawa peristiwa tersebut tidak sepatutnya berlaku.

"Saya merasakan kejadian ini tidak sepatutnya berlaku di mana-mana asrama yang mempunyai anak-anak kecil.

"Bagaimanapun, seluruh rakyat Malaysia sedih dengan apa yang berlaku di pusat tahfiz ini dan saya mewakili Pemuda Umno, mengucapkan salam takziah kepada keluarga mangsa," ujarnya.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TAIPING - Pemuda Umno Bahagian Taiping membuat laporan polis berhubung tindakan Pengerusi DAP Perak, Ngar Kor Ming yang memuat naik karikatur menghina sambutan Hari Raya Aidilfitri di akaun facebook miliknya.
  • BANDAR SUNGAI EMAS - Puteri Umno Bahagian Kuala Langat kesal dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab merosakkan pelbagai kemudahan yang digunakan untuk Majlis Persidangan Puteri Umno Bahagian Kuala Langat, Ahad lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.