RAWANG - Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas lalu terhumban ke gaung sedalam 10 meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Arang, Yazli Yahya berkata, bilik gerakan menerima panggilan kecemasan jam 10.18 pagi tadi melibatkan insiden di Kilometer 18.6 Lebuhraya Latar arah persimpangan Kundang.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian mendapati seorang lelaki berusia 30-an yang duduk di bahagian pemandu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Identiti si mati tidak dikenal pasti selepas gagal menemui dokumen peribadi bersama mangsa. Di percayai insiden berlaku lebih awal namun maklumat diterima lewat.

“Kenderaan mangsa remuk di bahagian hadapan dan dalam keadaan terbalik sewaktu anggota penyelamat tiba,” katanya.

Yazli memberitahu, kira-kira 15 minit masa diambil bagi mengeluarkan mangsa sebelum dibawa ke atas menggunakan sistem takal.

“Operasi tamat sepenuhnya 12 tengah hari dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.