RAWANG - Seorang penunggang motosikal maut selepas tidak sempat mengelak sebuah lori yang membuat pusingan u haram di Rawang Bypass berhampiran Pos Tenaga Nasional Berhad (TNB), semalam.

Dalam kejadian jam 7.15 pagi itu, mangsa, Mohd Syafiq Irsyaduddin, 26, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, pemandu lori berusia 46 tahun dalam perjalanan dari Jinjang menghala Sunway Quari.

“Sampai di Pos TNB pemandu beralamat dari Selayang itu membuat pusingan U di tempat tidak dibenarkan.

“Mangsa yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu merempuh lori tersebut sehingga menyebabkannya terseret,” katanya.

Katanya, pemandu lori berkenaan tidak mengalami kecederaan dan telah ditahan dan akan direman hari ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.

“Pemandu lori itu melalui ujian saringan air kencing dan diambil sampel darah untuk tujuan pemeriksaan dadah serta alkohol,” katanya.