SHAH ALAM - Gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku di lima wilayah, iaitu Petaling, Hulu Langat, Sepang, Klang dan Kuala Langat berhenti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang diuruskan operator loji, Syarikat Konsortium Abass sekitar jam 1.30 petang semalam.

Ketua Pegawai Operasi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Datuk Ir Lee Miang Koi berkata, gangguan berikutan disyaki berlaku pencemaran minyak sawit di Sungai Semenyih.

“Sebagai makluman, Loji Rawatan Sungai Semenyih membekalkan air terawat kepada  lebih kurang sejumlah 349,000 akaun pengguna di sekitar Wilayah Petaling (118,000 akaun), Hulu Langat (125,000 akaun), Sepang (65,000 akaun), Klang (19,000) dan Kuala Langat (22,000 akaun).

“Pada masa ini, Syabas masih sedang mengenal pasti kawasan yang dijangka mengalami gangguan bekalan air ekoran kejadian henti tugas loji ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, Syabas akan memaklumkan kepada orang ramai berhubung kawasan terlibat secara terperinci serta situasi terkini dari semasa ke semasa.

“Sebagai langkah awal, Syabas masih memantau kolam utama  yang menerima bekalan air dari LRA Sungai Semenyih.

“Syabas juga menghantar surat kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan kerjasama dalam menyediakan bekalan air melalui lori tangki dan tangki statik memandangkan loji rawatan air Sungai Semenyih ini diuruskan syarikat milik kerajaan negeri dan aset Syabas masih terikat dalam kejadian gangguan bekalan air yang melibatkan Wilayah Kuala Lumpur ekoran kegagalan rumah pam Wangsa Maju,” katanya.

Beliau berkata,  memandangkan sumber dan kualiti air mentah adalah di bawah tanggungjawab kerajaan negeri menerusi Lembaga Urus Air Selangor (Luas), maka adalah wajar untuk Syabas mendapatkan kerjasama daripada kerajaan Selangor dalam menangani isu ini.

“Gangguan bekalan air yang berlaku ini insiden yang baru dan tidak mempunyai kaitan dengan kejadian gangguan bekalan air berikutan kegagalan rumah pam Wangsa Maju dan Pudu Hulu baru-baru ini,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Dalam usaha menambahbaikkan perkhidmatan air kepada pelanggan di Klang, kerja-kerja penggantian perkakasan sistem agihan air di hadapan Kilang Mapletree, bersebelahan Sungai Damansara dan persimpangan Seksyen 25, Klang akan dilaksanakan pada 10 Ogos 2017.
  • SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Beberapa kawasan di Klang, Shah Alam dan Petaling akan mengalami gangguan bekalan air sementara bermula 10 malam ini berikutan kerja-kerja pembaikan pada paip utama yang pecah di belakang tapak kilang JVC, Seksyen 21, Shah Alam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.