KLANG - Seorang lelaki berusia 52 tahun yang sedang bertengkar dengan isterinya cedera dirotan oleh seorang lelaki yang disyaki kenalan jirannya dalam satu kejadian Rabu lalu.

Detik-detik dia dibelasah turut dirakam oleh rakan suspek sehingga video berkenaan tular di media sosial Facebook.

Video berdurasi lebih seminit itu memaparkan mangsa dimaki dan dipukul seorang lelaki sambil disaksikan seorang kanak-kanak dan wanita yang turut menangis teresak-esak.

Kejadian berlaku sekitar jam 3.30 petang ketika mangsa sedang bertengkar dengan isteri di kediaman mereka di Jalan Jarak, di sini.

Sumber berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa telah memarahi seorang lelaki berusia 60 tahun yang juga jirannya yang bertindak menegurnya yang sedang bertengkar dengan isteri.

"Jiran tersebut beredar dan tidak lama kemudian, dua lelaki muncul di kediaman mangsa.

"Salah seorang daripadanya memukul mangsa dengan rotan manakala seorang lagi merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbit yang kemudiannya dimuat naik ke Facebook,"

Menurutnya, dua lelaki itu bertindak demikian selepas tidak berpuas hati selepas mangsa memaki hamun lelaki (jiran) yang juga rakan karib kepada bapa suspek.

"Ekoran kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahu, paha, punggung, dan betis selepas dipukul dengan rotan sepanjang hampir satu meter itu.

"Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, sebelum tampil membuat laporan polis," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Nor Omar Sappi mengesahkan laporan berkenaan kejadian itu.

"Kini polis giat mengesan dua suspek bagi membantu siasatan," katanya.

Jelasnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mendatangkan cedera menggunakan barang berbahaya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.