SHAH ALAM - Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah mempercayai rakaman video dan suara berkaitan 'kekecohan' membabitkan dua kaum yang tersebar luas dalam media sosial.

Rakaman video dan suara yang berdurasi 1.38 minit itu dipercayai tular selepas insiden seorang lelaki kurang upaya (OKU) ditetak di sebuah warung di Jeram, Kuala  Selangor 31 Ogos lalu.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor turut memohon kerjasama orang ramai supaya tidak menularkan rakaman video dan suara terbabit demi menjaga keharmonian semua kaum.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kuala Selangor, Asisten Superintendan Ramli Bakar menjelaskan, sebaran berita panas terbabit adalah tidak sahih dan boleh menggugat ketenteraman awam.

"Rakaman video dan suara yang menokok tambah dari kejadian sebenar itu disifatkan hanya bertujuan untuk menimbulkan ketegangan antara kaum.

[ARTIKEL BERKAITAN: OKU kena tetak sampai putus urat tangan]

"Jika benar, sudah tentu jadi kecoh tetapi setakat ni tiada apa-apa. Pihak polis juga sudah membuat perjumpaan dengan pertubuhan tertentu supaya mereka tidak mengambil tindakan sendiri.

"Biarlah pihak polis jalankan siasatan dan ambil tindakan mengikut lunas undang-undang," katanya ketika diminta mengulas lanjut mengenai rakaman video terbabit yang kononnya berlaku di Ijok.

Tegasnya, pelbagai rakaman video yang ditularkan termasuk gambar orang bergelimpangan dengan kesan cedera yang teruk dipercayai disunting dari kes lama dan dicampuradukkan dengan insiden tetak lelaki OKU di Jeram.

"Jika betul berlaku, sudah tentu pada hari kejadian tu juga berlaku pertumpahan darah seperti insiden Kampung Medan dulu tetapi kejadian sudah lebih enam hari.

"Pihak polis juga sudah memberi penerangan dan penjelasan kepada media supaya tidak menularkan cerita dan gambar bukan-bukan yang boleh menggugat keharmonian kaum," katanya.