KUALA LUMPUR - Jalan berlubang, retak, mendap, beralun, penutup lurang yang terbenam atau di atas paras jalan, tampalan tidak sempurna dan berpasir sering menjadi igauan ngeri pengguna jalan raya terutama yang pernah menjadi mangsa akibatnya.
   
Umpama jalan maut, ia bukan sahaja mengakibatkan banyak peralatan sokongan kenderaan seperti penyerap hentak dan tayar mudah rosak dan bocor, malah mengundang kecederaan dan kehilangan nyawa.
   
Kajian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) juga mendapati faktor kemalangan jalan raya bukan hanya tertumpu kepada faktor manusia, tetapi juga faktor jalan raya dan kenderaan.
   
Kesedaran pengguna tentang bahaya itu menyebabkan banyak aduan mengenai kerosakan jalan raya dilaporkan di media, malah kini ia menjadi lebih mudah dengan memaparkannya di laman sesawang atau media sosial seperti facebook dan twitter.
   
Kerosakan jalan, terutama masalah rekahan dan berlubang biasanya berlaku disebabkan kelemahan lapisan permukaan jalan apabila turapan jalan telah digunakan dalam tempoh yang lama.
   
Ia juga berpunca daripada faktor turapan yang tidak sempurna, keadaan cuaca seperti hujan, ketiadaan sistem saliran yang baik serta beban aliran trafik yang berlebihan terutama kenderaan yang membawa lebih muatan.
   
Bahagian-bahagian mendap dan beralun di jalan raya sering kali disebabkan oleh saliran kurang baik, sistem paip bawah tanah atau kerja-kerja menggali untuk memasang kabel atau yang lain yang lama kelamaan menyebabkan tanah mendap.

Keadaan itu boleh menjadi pembunuh terutama kenderaan kecil seperti pengguna motosikal.
  
MASALAH BERPANJANGAN
  
Di Lembah Klang termasuk sekitar ibu negara masalah jalan berlubang bukan masalah terpencil, sebaliknya menjadi rungutan tidak berkesudahan pengguna jalan raya.
   
Beberapa jalan di ibu negara seperti di Jalan Tun Razak, Jalan Pahang menuju Jalan Danau Kota, Jalan Ulu Kelang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Taman Desa dan sepanjang Jalan Ampang dan beberapa laluan lain sering berhadapan masalah jalan berlubang dan lain yang membahayakan nyawa pengguna jalan raya.
 
Seorang pengguna motosikal, Amalina Zahir, 24, pernah ditimpa kecelakaan apabila tayar skuter yang ditunggangnya masuk ke dalam lubang sedalam 30 sentimeter di jalan berhadapan LRT Damai, Keramat.
   
Beliau nyaris kehilangan nyawa apabila skuternya terjatuh dan hampir dilanggar kenderaan lain dari belakang.
  
"Kejadian berlaku sebelah malam, memang tak nampak lubang itu sebab digenangi air. Tayar skuter saya kecil jadi bila masuk dalam lubang tu memang tak mampu nak imbang, terus jatuh.
   
"Nasib baik saya hanya mengalami cedera ringan tapi motosikal saya rosak teruk dengan banyak bahagian yang perlu diganti," katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.
  
Seorang lagi mangsa, Mashud Sahid, 40an, terpaksa menerima 15 jahitan di kepala apabila motosikalnya digesel sebuah kenderaan yang cuba mengelak sebuah lubang besar di Jalan Tun Razak berhampiran Rumah Temasek.
   
Kejadian berlaku kira-kira pukul 7 petang ketika beliau dalam perjalanan dari Sungai Besi ke pusat bandar.
   
"Saya jatuh dan berguling di atas jalan selepas bergesel dengan kereta itu. Nasib baik kereta itu tidak berapa laju. Saya cedera di kepala selain beberapa anggota badan lain hingga terpaksa ditahan di wad," katanya mengenang semula kejadian yang berlaku akhir tahun 2011.
  
PENYELENGGARAAN JALAN TIDAK SEMPURNA

Bagaimanapun, kerja mengorek dan menampal jalan memang menjadi pemandangan biasa di jalan-jalan raya di Malaysia. Di sekitar Kuala Lumpur sahaja, kerja mengorek dan menurap jalan mempunyai kesan yang mendalam kepada pengguna jalan raya terutama jika dilakukan pada waktu siang.
   
Kerja-kerja ini mengundang kemarahan orang ramai kerana ia menyebabkan kesesakan lalulintas yang berganda.
   
Tetapi kekerapan berlakunya kerosakan jalan raya terutama di lokasi yang sama menimbulkan tanda tanya, sejauh mana kualiti membaik pulih dan kerja penyelenggaraan jalan yang dilakukan?
   
Pakar Pengangkutan Awam Prof Dr Abd. Rahim Md. Nor berkata banyak jalan terutama di sekitar Kuala Lumpur tidak diselenggara dengan baik dan secara profesional.
   
Malahan kebanyakan pekerja yang melakukan kerja baik pulih tidak terlatih dan berkemahiran dalam kerja itu, katanya.
   
"Kerana itu banyak jalan yang diturap dan dibaikpulih cepat rosak. Kadangkala jalan yang diturap hanya mampu bertahan setengah tahun sahaja dan ada yang kurang daripada itu.
   
"Ditambah dengan hujan, air mula bertakung menyebabkan lubang atas jalan bertambah besar sedikit demi sedikit dan akhirnya membahayakan pengguna jalan raya terutama mereka yang menggunakan kenderaan kecil seperti motosikal," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
  
CONTOHI NEGARA MAJU

 
Kaedah yang digunakan negara maju seperti United Kingdom dalam menyelenggara dan membaik pulih jalan yang rosak boleh dijadikan contoh.
   
Mereka melaksanakannya secara profesional dengan menggunakan tenaga kerja yang berkemahiran dalam bidang penyelenggaraan jalan bagi memastikan kualitinya sama dengan jalan yang asal, menurut Prof Abd. Rahim yang juga Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
   
Beliau berkata Malaysia perlu menubuhkan satu badan pemantau bebas khusus mengawasi kerja-kerja baik pulih jalan raya terutama projek-projek yang memerlukan jalan raya dikorek dan diturap semula.
   
"Pihak ketiga ini akan melaporkan sekiranya syarikat yang melaksanakan projek itu gagal mencapai spesifikasi yang ditetapkan dan mereka mungkin boleh dikenakan denda dan sebagainya.
   
"Dengan cara ini syarikat-syarikat yang berkenaan akan lebih serius dan tidak melaksanakannya sekadar melepas batuk di tangga sahaja," katanya.
   
Pihak yang dipertangggungjawabkan dengan kerja-kerja membaikpulih kerosakan jalan harus memikirkan bebanan yang dihadapi pengguna jalan raya terutama kos penyelenggaraan dan membaik pulih kenderaan selain risiko kecederaan atau kematian.
  
BAHAYA MENGUNDANG
   
Melalui maklumat balas daripada bengkel-bengkel kenderaan di sekitar Kuala Lumpur, kos membaiki dan menyelenggara kenderaan meningkat kerana jalan yang rosak dan berlubang.
   
Di Malaysia, motosikal adalah kenderaan paling popular bagi tujuan pengangkutan di bandar kerana kos kendaliannya yang lebih murah serta praktikal terutama dalam mengharungi kesesakan.
   
Namun, risiko mereka lebih tinggi terutama berhadapan dengan jalan yang rosak dan berlubang, menurut pengasas kelab DR Moto, Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali dengan nama "Lando Zawawi", 36 tahun.
   
DR Moto mewakili kepentingan keselamatan bagi kenderaan dua roda.
   
Sebagai "mat moto" dan menggunakan motosikal sebagai pengangkutan utama, beliau cukup memahami masalah dan keluh kesah yang dihadapi penunggang motosikal terutama berhadapan dengan masalah jalan yang rosak.
   
Banyak perkara berkaitan yang mungkin dianggap remeh sesetengah pihak harus dilihat secara serius, katanya.
   
Azlan yang banyak menganjurkan kempen keselamatan jalan raya terutama dalam kalangan pengguna motosikal berkata apabila tayar motosikal melanggar lubang, penunggang mudah terpelanting dan mengalami kecederaan selain motosikal rosak.
   
"Kenderaan lain seperti kereta, lori yang cuba mengelak lubang secara mengejut atau mendadak juga boleh menghimpit penunggang motosikal yang melalui jalan yang sama ketika itu.
   
"Kedua-dua perkara ini sering menyebabkan kejadian kemalangan maut dan boleh menyebabkan penunggang motosikal digilis kenderaan yang lebih besar," katanya.
   
Selain itu, keadaan motosikal yang semakin teruk kerana kerap melalui jalan yang rosak dan berlubang akan mengakibatkan risiko lain yang boleh mengundang kecelakaan, katanya.
 
USAHA DR MOTO
  
Tidak tahan dengan masalah jalan berlubang dan rungutan serta masalah yang dilalui penunggang motosikal, DR Moto bersama beberapa kumpulan motosikal antaranya Vrus Family, Kelab RD, Pasifik Biker telah bekerjasama mencari modal dan menurap sendiri jalan berlubang yang berbahaya kepada pengguna jalan raya.
   
Semua itu dilakukan atas semangat persaudaraan dalam kalangan pengguna motosikal di sekitar Kuala Lumpur.
   
Beliau berkata, tindakan itu bukan untuk menjadi hero namun terpaksa dilakukan demi keselamatan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal setelah segala aduan yang diajukan kepada pihak berwajib tidak mendapat maklumat balas atau tindakan terhadapnya adalah lambat.
   
"Ia umpama lubang maut... jika tidak diturap secepat mungkin, makin ramai yang menjadi mangsa," katanya yang mula melaksanakan usaha itu sejak tahun lepas.
   
Lokasi terbaru lubang yang diturap adalah di Jalan Tun Razak berdekatan Rumah Temasek menghala ke Bukit Bintang, Kedutaan Indonesia menghala ke Tabung Haji dan berdekatan lampu trafik simpang empat Tabung Haji.
   
Selain itu, dua buah lubang besar berhadapan Petronas Jalan Ampang juga diturap.
   
"Kami turut mendapat sumbangan syarikat yang mengambil berat akan nasib pengguna motosikal dan sanggup menaja kos penurapan lubang dan kontraktor yang terlibat pula sanggup berkongsi mengajar kami cara menurap yang betul," katanya.

Azlan berkata kebiasaannya jika ternampak jalan-jalan rosak terutama yang berlubang, beliau akan menandanya dengan tanda kuning agar mudah dilihat.
   
Selepas itu, barulah beliau dan rakan-rakan menurapnya dengan tar.
   
"Kami akan melakukan operasi ini dalam tempoh waktu tengah malam hingga awal pagi. Biarlah orang kata saya buat kerja gila, yang penting kami, penunggang motosikal tidak mahu nyawa kami terancam hanya kerana jalan berlubang," kata Azlan.  - Bernama