TANJONG KARANG - BN Selangor berjanji untuk mengembalikan zaman kegemilangan pasukan bola sepak Selangor sekiranya diberi mandat daripada rakyat negeri ini pada PRU14.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, pasukan Red Giants suatu ketika dulu amat digeruni pasukan lawan hingga meraih banyak pencapaian cemerlang.

"Saya masih ingat, sewaktu Datuk Mohd Aini Taib menjadi pengurus pasukan, Red Giants merangkul kejuaraan tiga kali berturut-turut Piala Malaysia iaitu pada tahun 1995 hingga 1997.

"Kita melihat bahawa pasukan ini menjadi kebanggaan anak muda di negeri Selangor pada masa itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Padang Kelab Bola Sepak Tanjong Karang di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, katanya, semua kejayaan yang diraih itu tidak bertahan lama, apabila BN hilang kuasa di negeri ini.

"Kita tengok pasukan Selangor, kini menjadi pelarian di negeri sendiri dan terpaksa menumpang di Stadium Wilayah Persekutuan (Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras)," katanya.

Sehubungan itu, katanya, Stadium Shah Alam yang menjadi gelanggang keramat pasukan Merah Kuning akan diserahkan semula kepada pasukan itu jika BN kembali memerintah Selangor.

Noh turut mempersoalkan kewibawaan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sewaktu menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

"Mohamed Azmin nak kacau semua dan nak tunjukkan kuasa hingga FAS pun nak dipolitikkan kerana mungkin beliau melihat ramai jawatanuasa ini dulunya adalah bekas pemimpin BN.

"Beliau melihat FAS, seolah olah nak dijadikan isu politik, padahal untuk menjayakan pasukan bola sepak itu, kita kena ketepikan fahaman politik sebab anak muda yang menyokong pasukan ini terdiri daripada pelbagai fahaman politik.

"Asas kita (BN) nanti, janganlah kita campur adukkan politik dalam sukan negeri Selangor, khususnya urusan pentadbiran FAS," katanya.