KUALA LUMPUR - Pelbagai pihak terus mengutuk tindakan biadap Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja), Dr. Zamihan Mat Zin, mengeluarkan perkataan-perkataan yang bersifat rasis, kurang beradab dan kritikan melampau terhadap Institusi Diraja menerusi ceramahnya.

Presiden Angkatan Skuad Mubaligh Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan, Damian Mikhail Seet, mahu pihak berkaitan turut mengambil tindakan sama dengan menarik balik sebarang kelayakan Zamihan di Wilayah Persekutuan seperti mana yang dibuat di Selangor.

Menurutnya, tindakan penceramah itu disifatkan amat memalukan dan jauh dari sifat yang sepatutnya ditonjolkan oleh seorang ikon agama Islam.

"Kita mahu negara ini bertoleransi dan bebas daripada ekstremis seperti beliau. Pihak berkuasa perlu siasat dengan lebih lanjut terhadap isu yang boleh membawa ketegangan agama.

"Kami sebagai pendakwah dan Muslim, kita penat untuk pertahankan Islam disebabkan individu-individu yang menunjukkan Islam secara salah. Perkara ini perlu dihentikan.

"Islam tidak perlu dipertahankan kerana Islam itu indah dan sempurna cuma orang-orang tidak sempurna ini yang menimbulkan kekeliruan terhadap orang yang belum kenal Islam dan antara Muslim juga,"katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Sementara itu, Pegawai Dakwah, Interactive Dakwah Training, John Selvaraj, berkata, tindakan Zamihan telah lama menggores perasaan kaum lain namun tidak diperbesarkan sehinggalah video ceramahnya menjadi tular.

Ujarnya, tindakan mengeluarkan kata-kata bersifat rasis dan kutukan boleh dikatakan berlaku di setiap ceramahnya.

"Caranya selama ini memang tidak disukai namun makin lama semakin menjadi-jadi apabila mula hina kaum lain. Ini tidak adil kerana kita adalah masyarakat majmuk. Provokasi yang dilakukan ini boleh sebabkan masyarakat pecah belah," katanya.

Terdahulu dua laporan polis dibuat di Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail, oleh kedua-dua pihak berkenaan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.