• Kesan sampingan pada muka yang dialami Pee Lay selepas rawatan di pusat kecantikan terbabit. Kesan sampingan pada muka yang dialami Pee Lay selepas rawatan di pusat kecantikan terbabit.
1 /

PETALING JAYA - Hanya kerana mahu kelihatan cantik, seorang wanita terpaksa menderita selama dua bulan akibat kesan sampingan selepas menjalani rawatan muka bernilai RM3,800.

Mangsa, Choo Pee Lay, 34, mengalami kegatalan dan kemerahan melampau pada kulit mukanya selepas menjalani beberapa siri rawatan di sebuah pusat kecantikan, April lalu.

Pee Lay berkata, dia sama sekali tidak menyangka premis yang turut memasarkan produk kecantikan bertaraf antarabangsa itu enggan bertanggungjawab bagi masalah dihadapinya.

“Pada 30 Mei lalu saya mula menjalani rawatan cuci muka di pusat kecantikan itu yang terletak di Bukit Tinggi, Klang namun beberapa jam selepas rawatan, saya mengalami kegatalan dan kemerahan,” katanya pada sidang media bersama Biro Pengaduan Awam MCA Selangor, dekat sini.

Menurutnya, dia menghubungi perunding pusat kecantikan itu dan pada 14 Jun lalu dan dia diminta datang sekali lagi untuk menjalani rawatan cucian muka.

Katanya, bagaimanapun, keadaannya tidak banyak berubah dan dia diminta pula menjalani rawatan cuci muka sebanyak lima kali yang keseluruhannya bernilai RM1,490.

“Perunding terbabit beritahu jika saya ambil pakej itu, segala masalah yang saya hadapi akan selesai namun selepas menjalani rawatan cucian muka sebanyak lima kali tersebut gatal-gatal dan kemerahan pada muka bertambah teruk," katanya yang tidak dapat berniaga selepas mengambil cuti sakit selama seminggu.

Pee Lay berkata, dia juga tidak dapat tidur malam malah terpaksa mendapatkan rawatan daripada pakar kulit dengan bayaran RM980.

Katanya, syarikat berkenaan enggan memulangkan wang rawatan dibayarnya walaupun menyedari masalah yang berlaku adalah disebabkan kesilapan rawatan dilakukan.

Tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku dan menyedari dirinya tertipu, Pee Lay membuat laporan di Balai Polis Klang pada 28 Julai lalu.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan Awam  MCA, Datuk Theng Book berkata, syarikat berkenaan perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang berlaku kepada mangsa.

“Syarikat itu perlu memulangkan wang yang dibayar termasuk menanggung kos rawatan untuk memulihkan muka mangsa,” katanya.