PETALING JAYA - Dua lelaki warga Thailand didenda RM2,300 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, selepas mengaku salah mengutip derma tanpa lesen sah bagi membantu sebuah madrasah di negara itu.

Majistret Atiqah Abd Karim @ Husaini menjatuhkan hukuman itu terhadap Rusali Bueraheng, 45, dan Abdulloh Arrong, 45, atau mereka perlu menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Rusali dan Abdulloh didakwa menjalankan kutipan derma bagi Madrasah Tahfiz Darul Islah tanpa sebarang lesen sah di hadapan Bank CIMB, Jalan 52/2, Pekan Baru, di sini, jam 6 petang pada 26 Ogos lalu.

Dalam rayuannya, mereka yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan denda ringan dengan alasan, masing-masing penanggung utama keluarga.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Arsalnaa berhujah, kes seumpama itu terlalu banyak berlaku di Petaling Jaya, selain mendapat kutipan yang banyak.

“Sepatutnya mereka yang ingin meminta derma perlu mendapatkan kelulusan daripada Ketua Polis Daerah,” katanya.