SABAK BERNAM - "Saya sangka bunyi dentuman kuat datang dari pintu bilik anak, tapi sebaliknya berlaku apabila pokok kelapa menghempap bumbung rumah," demikian kata Mohamad Yasin Saad, 56.

Mohamad Yasin berkata, kejadian kira kira jam 12 tengah malam itu berlaku, ketika dia bersama isteri Saninah Suhaili, 42, serta dua anak, Nurul Fatin Izyanti, 19, dan Mohamad Izzu Naquiddin, 18, sedang lena tidur.

"Sebelum itu, saya terdengar bunyi ribut berlaku sekitar rumah namun tidak dihiraukan.

"Tak lama lepas itu, saya dikejutkan dengan suara ahli keluarga mengatakan pokok kelapa sebesar pemeluk menghempap bumbung," katanya.

Terdahulu, Mohamad Yasin bersama empat ahli keluarga lain terselamat selepas pokok kelapa setinggi enam meter menghempap bumbung rumah mereka di Jalan Montel Selatan, Bagan Nakhoda Omar (BNO), di sini, hari ini.

Mohamad Yasin berkata, dia sekeluarga mengambil keputusan menumpang sementara di rumah ibunya yang terletak kira-kira 10 meter dari kediamannya kerana bimbang keselamatan diri.

Menurutnya, kereta jenis Perodua Alza miliknya yang diparkir di hadapan rumah turut retak di cermin hadapan serta bonet hadapan akibat ditimpa buah kelapa berusia kira kira 50 tahun.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sabak Bernam, Mohd Saufi Zakaria berkata, sepasukan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 7.41 pagi.

"Tiba di lokasi, anggota mendapati pokok kelapa itu telah tumbang dan menghempap bumbung rumah mangsa.

"Anggota kemudian menggunakan mesin pemotong dan mengalihkan bahagian pokok itu ke tempat lain," katanya.