SABAK BERNAM - Sabak Bernam menjadi daerah pertama di negeri ini melaksanakan Kempen Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti.

Penolong Pengarah Unit Kesepaduan Sosial dan Integrasi Nasional, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) negeri, Helmy Mohamad Yahya berkata, kempen tersebut dilaksanakan di dua kawasan Parlimen berkenaan.

“Kempen bertujuan untuk menyedarkan masyarakat tentang bahaya dan akibat jika jenayah dan keganasan tidak dibendung ini berjaya dijalankan di Parlimen Sungai Besar dan kempen sama dilaksanakan di Parlimen Sabak Bernam minggu lalu.

“Di samping itu, menggalakkan dan menyemarakkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat dan kaum dalam mengukuhkan amalan perpaduan dan pendedahan kepada kepentingan keselamatan komuniti,” katanya pada program di Taman Sekinchan Jaya, di sini.

Menurutnya, kempen dilaksanakan di bawah konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu melibatkan penyertaan 10 agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Agensi lain terlibat ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Ikatan Relawan Malaysia (Rela), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Kesihatan Daerah Sabak Bernam dan JPNIN Daerah Sabak Bernam serta Komuniti Sihat Perkasa Negara (Kospen) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

“Kerjasama semua agensi terlibat menjayakan program ini sangat bertepatan dengan ciri-ciri NBOS yang dikehendaki sekali gus berjaya mendekatkan masyarakat dengan kepimpinan setempat,” katanya.

Helmy berkata, program ‘touch point’ itu juga memberi kesedaran kepada pemimpin bahawa masyarakat yang berbilang kaum ini perlu didekati dari semasa ke semasa dan menyelami permasalahan rakyat secara langsung.

“Secara keseluruhan, program berbentuk kempen mendekati masyarakat melalui jalinan yang mantap dan bersepadu antara agensi terlibat berjaya mencapai matlamatnya,” katanya.