SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menafikan viral tersebar mengatakan terdapat seorang ustaz yang pernah disabitkan membawa ajaran sesat bekerja di bawah institusi agama itu, selain turut menjadi imam di sebuah masjid di daerah ini.

Pengarahnya, Datuk Haris Kasim berkata, semakan dibuat pihaknya mendapati, ustaz berkenaan tidak bekerja dengan Jais tetapi ada memohon tauliah mengajar daripada pihaknya.

"Sebelum ini, dia memang ada mohon tauliah mengajar dengan kita dan lulus. Bagaimanapun kita akan buat semakan semula terhadap tauliah dia.

"Berkenaan dakwaan dia jadi imam di Shah Alam, kita sudah semak dan tiada masjid di sini yang dia jadi imam...kecuali jika dia jadi imam tanpa pengetahuan kita," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, jika ustaz didakwa menjadi imam tanpa pengetahuan Jais, tiada peruntukan undang-undang yang boleh dikenakan terhadap individu tersebut.

"Kita boleh maklumkan nazir masjid atau surau jangan lantik individu tertentu jadi imam tapi jika individu itu jadi imam tanpa kebenaran, tindakan hanya boleh dikenakan terhadap nazir yang ingkar arahan," katanya.

Terdahulu, tersebar viral menerusi WhatsApp berhubung seorang ustaz yang bukan sahaja pernah disabitkan membawa ajaran sesat, malah turut terlibat dalam penipuan tanah wakaf di Kelantan.

Ustaz terbabit juga didakwa bekerja di bawah Jais, malah viral tersebar menyeru agar maklumat itu disebarkan dan meminta orang ramai jangan bersubahat menyebarkan aqidah yang menyeleweng dari ajaran Islam sebenar.