PUCHONG - Penduduk di Kampung Seri Aman di sini, sekali lagi gempar dengan kelibat buaya sepanjang hampir enam meter yang timbul di kawasan berbatu berdekatan tiang landasan stesen transit aliran ringan (LRT) di Sungai Klang di sini, malam tadi.

Kemunculan reptilia itu dikatakan disedari penduduk kira-kira jam 7.45 malam sebelum lokasi kejadian mula dikerumuni orang ramai yang ingin melihatnya dengan lebih dekat.

Penduduk, Muhd Salleh Ozmi,28, berkata, kemunculan sang bedal itu bukan pemandangan luar biasa bagi keluarganya.

Dia yang tinggal lebih kurang 40 meter dari jarak sungai berkenaan mendakwa semakin kerap melihat haiwan itu timbul dan bersidai di tebing konkrit kebelakangan ini.

“Tahun ni saja dah lebih kurang empat kali saya nampak buaya bermain-main di kawasan berbatu bawah tiang LRT itu.

“Kata orang tua-tua kalau buaya timbul lebih tiga kali itu tandanya nak banjir…tapi tak tahulah,”katanya.

Muhd Salleh berkata, setakat dia mendiami kampung berkenaan belum pernah dia mendengar haiwan itu mengganggu penduduk.

Katanya, kebiasaannya reptilia itu akan muncul antara jam 5 dan 6 petang bermain-main di sekitar kawasan batu yang timbul di permukaan sungai.

“Setahu saya ada tiga ekor buaya dalam sungai ni sejak 30 tahun lalu.. mula-mula tadi hanya nampak seekor lepas tu timbul lagi dua ekor, cuma pelik kerana kali ni ia timbul pada waktu malam.

“Namun ada juga tertanya-tanya mengapa ia kerap muncul kebelakangan ini dan kadangkala sampai ke tebing yang terletak kira-kira 20 meter dari jarak ketinggian jalan,”katanya.

Penduduk, Mohd Azril Jamanhuri, 26, berkata, lokasi tepi Sungai Klang akan bertukar menjadi tapak pesta dan dipenuhi orang ramai apabila reptilia itu menunjukkan dirinya.

Dia yang sudah dua kali melihat kelibat buaya tahun ini mendakwa penduduk kampung tidak berasa takut setiap kali haiwan itu muncul.

“Bila ada saja yang nampak kelibat buaya, berita akan cepat tersebar dan ramai akan penuhi lokasi.

“Biasanya yang rasa cemas dan bimbang adalah orang luar dari kawasan sini… setakat ni buaya di sini tak pernah ganggu atau cederakan mana-mana penduduk,”katanya.

Penduduk, Kamsani Kamarudin berkata, kemunculan buaya di sungai berkenaan bukan pemandangan baru bagi penduduk kampung.

Katanya, adakala buaya itu boleh dilihat dari bawah jambatan berdekatan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan sungai berhampiran Kampung Tengah.

“Buaya ni dah selalu dilihat namun penduduk tetap akan berhentikan kenderaan di tepi jalan untuk melihatnya setiap kali ia muncul kerana dapat juga ‘cuci mata’.

“Orang kampung tak bercadang nak tangkap buaya tu sebab ia tak pernah kacau orang,”katanya.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KEMAMAN - Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu akan bekerjasama dengan Perhilitan untuk menangkap seekor buaya tembaga yang dilihat timbul dan berjemur di sebuah tali air di Kampung Paman sejak minggu lalu.
  • KEMAMAN - Kehadiran seekor buaya tembaga yang dilihat di kawasan tali air berdekatan simpang tiga Kampung Paman, di sini, sejak minggu lalu menimbulkan rasa bimbang terutama kepada pemilik kebun buah-buahan berdekatan tali air terbabit.
  • MIRI - Penduduk di tengah bandar Limbang gempar apabila seekor buaya seberat satu tan serta sepanjang lima meter ditemui awal pagi ini.
  • JERANTUT - Penduduk Kampung Kelola, Pulau Tawar, di sini digemparkan dengan kemunculan beberapa ekor buaya di persisir sungai sebuah pulau kecil, Sungai Pahang.
  • BAGAN SERAI - Penduduk di dua kampung di sini gempar apabila buaya yang didakwa dilihat di Sungai Kurau berhampiran Kampung Padang Lalang lebih dua minggu lalu, muncul di kawasan mereka sejak seminggu kebelakangan ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.