PETALING JAYA - Anggota bomba mengambil masa kira-kira 15 minit bagi memujuk seorang remaja perempuan yang cuba membunuh diri  di sebuah hotel di sini pagi tadi.

Dalam kejadian 3.12 pagi itu, remaja berusia 19 tahun itu berada di atas bumbung bangunan yang ketinggiannya 24 tingkat.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri berkata, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara memujuk mangsa dengan bantuan rakan mangsa yang turut berada di lokasi.

"Pakaian peralatan keselamatan turut digunakan dalam usaha menyelamatkan mangsa.

"Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, mangsa tidak mengalami kecederaan dan berada dalam keadaan selamat.